Sunday, February 2, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Elak keracunan makanan, penyediaan perlu teliti

    Oleh Nurdiyanah R. –

    Abu berpeluh-peluh menahan sakit perut, mukanya pucat lesi dan sudah banyak kali dia ke tandas, buang air besar dan ada kalanya termuntah.

    Entah apa yang dimakannya, dia pun kurang pasti, tetapi sejak subuh lagi dia sudah kerap ke tandas dan pagi itu dia tak tahan, terus ke klinik berhampiran mendapatkan rawatan.

    Doktor di klinik mengesahkan Abu keracunan makanan selepas bertanyakan Abu mengenai apa yang dibuatnya sebelum itu. Menurut Abu, dia ada membeli dan memakan nasi campur yang dijual di sebuah gerai berhampiran rumahnya.

    Senario di atas mungkin terjadi kepada awda apabila keracunan makanan dan salah satu puncanya ialah jualan makanan yang tercemar di gerai-gerai atau restoran.

    Pegawai Kesihatan Kanan dari Autoriti Makanan Brunei Darussalam (BDFA), Dayang Maswani binti Awang Yusof, menjelaskan keracunan makanan adalah satu penyakit yang wajib dilaporkan di bawah Akta Penyakit Berjangkit 2003 (Bahagian 204), 2010.

    Dayang Maswani semasa menyampaikan Taklimat Keselamatan dan Kualiti Makanan. – Gambar oleh Nurdiyanah R.
    Antara penjaja dan pengendali makanan yang menghadiri taklimat tersebut. – Gambar oleh Nurdiyanah R.
    Antara pengisian taklimat yang berlangsung di Dewan Seri Kenangan, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Tutong. – Gambar oleh Nurdiyanah R.
    Foto Canva

    Ia merupakan penyakit yang berlaku selepas mengambil makanan yang tercemar dengan kuman atau bahan kimia yang boleh berakhir dengan kematian.

    Dalam Taklimat Keselamatan dan Kualiti Kualiti Makanan kepada Penjaja-Penjaja Gerai Kawalan Jabatan Daerah Tutong dan Penjaja-Penjaja Gerai Makan Kawalan Jabatan Bandaran Tutong di Dewan Seri Kenangan, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Tutong baru-baru ini, beliau menjelaskan, beberapa punca keracunan makanan termasuklah penyediaan makanan terlalu awal dan penyimpanannya pada suhu bilik, serta tidak memanaskan makanan pada suhu yang mencukupi untuk membunuh kuman.

    “Makanan yang beku juga perlu dicairkan sepenuhnya untuk mengelakkan pencemaran.

    “Selain itu, pengendali makanan yang mempunyai penyakit berkaitan makanan juga boleh menjadi punca keracunan makanan,” katanya.

    Taklimat dihadiri lebih 50 penjaja dan pembantu gerai itu merupakan salah satu langkah dan usaha Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Tutong, untuk memberikan keutamaan kepada keselamatan dan kualiti makanan semasa berjaja.

    Ia juga bagi memastikan agar penjaja dan pengendali makanan mematuhi amalan kebersihan makanan yang betul, termasuk kebersihan diri mereka.

    Dayang Maswani turut mengingatkan mereka untuk menjaga kebersihan diri dengan sentiasa memakai pakaian yang bersih, termasuk penutup kepala dan kasut yang tidak licin.

    Selain itu, penting bagi mereka untuk memastikan kuku mereka sentiasa pendek dan bersih serta menghindari penggunaan barang kemas atau pewarna kuku semasa menyediakan makanan.

    “Penjaja dan pengendali makanan perlu membersihkan bahan asas seperti telur sebelum menggunakannya. Selain itu, makanan yang sudah dimasak perlu disimpan pada suhu yang selamat, iaitu di bawah 4 darjah Celsius atau melebihi 63 darjah Celsius, jika tidak disajikan atau dimakan dengan segera,” tambahnya.

    Dalam hal penyediaan makanan, beliau menyarankan agar makanan beku disimpan di bahagian bawah peti sejuk semalaman untuk pencairan yang sempurna dan mengelakkan penempatan tong sampah berhampiran dengan kawasan penyediaan makanan untuk menghindari pencemaran silang.

    Beliau menekankan penggunaan sarung tangan pakai buang atau perkakas dapur yang bersih semasa mengendalikan makanan dan mengelakkan meninggalkan peralatan dalam bekas makanan atau ais.

    Selain itu, mereka yang mengalami penyakit seperti penyakit saluran pernafasan, batuk-batuk, cirit-birit, atau penyakit kulit tidak sepatutnya terlibat dalam penyediaan makanan untuk menjaga keselamatan semua orang.

    BDFA, sebagai badan pengawal selia keselamatan dan kualiti makanan di Brunei Darussalam, juga berusaha untuk memastikan keselamatan dan kualiti makanan menjadi keutamaan dalam aktiviti penjajaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda