Kepadatan di beberapa kawasan sama ada perumahan, tempat kerja atau lokasi riadah menyebabkan ada kalanya ruang parkir yang disediakan tidak mencukupi.
Justeru, sudah menjadi perkara biasa apabila kita terpaksa meletakkan kereta di tepi jalan dan sebagainya asalkan tidak mengganggu lalu lintas.
Namun pernahkah awda memarkir kereta di kawasan bercuram atau berbukit? Tidak kiralah awda hanya mahu memarkir dalam tempoh sekejap atau lama, perlu diingat bahawa kawasan seperti itu mempunyai tarikan graviti boleh membuatkan kenderaan awda bergolek atau bergerak menuruni bukit jika tidak diparkirkan dengan betul.
Justeru, awda perlu memarkir kenderaan dengan betul bukan sahaja untuk mengelakkan perkara tidak diingini berlaku seperti kereta menggelongsor atau sebagainya, malah untuk mengelakkan kerosakan pada kereta sendiri serta individu yang mungkin berada di situ.
Jadi untuk mengelakkan kejadian sedemikian daripada berlaku, penting untuk awda tahu cara yang betul memarkirkan kereta di kawasan bukit atau curam. Teruskan membaca artikel ini untuk mengetahuinya.
Berikut beberapa tip jika awda ingin meletakkan kenderaan di kawasan berbukit atau curam dari laman blog Bjak dan Carlist.My.
KERETA MANUAL
Untuk kereta manual, selepas selesai menarik brek tangan, masukkan gear 1 atau reverse pada kereta dan tinggalkan sahaja kereta awda seperti itu. Jika awda meletakkan kereta di kawasan menaik, masukkan gear 1. Jika parkir di kawasan menurun, masukkan gear reverse supaya kereta awda tidak bergerak memandangkan awda telah set transmisi ke arah berlawanan daripada arah graviti. Tidak perlu risau lagi jika terdapat kegagalan pada sistem brek.
KERETA AUTO
Untuk meletakkan kereta automatik di kawasan berbukit, awda perlu untuk menekan brek kaki semasa gear masih lagi pada kedudukan D untuk memberhentikan kenderaan terlebih dahulu. Seterusnya, tarik brek tangan dan tukar gear D kepada P dan matikan enjin kereta awda.
Secara teknikalnya, jika awda menggunakan brek kaki dan menukar gear D kepada P, lalu melepaskan brek kaki awda sebelum menarik brek tangan, beban kereta akan terletak pada gear kereta ketika brek kaki dilepaskan.
Perkara ini berpotensi untuk betul-betul mendatangkan masalah kepada kereta awda dalam jangka masa panjang kerana sekiranya kereta awda bergerak walaupun hanya satu atau dua inci sahaja setelah awda menukar gear D kepada P, ini akan mengakibatkan tekanan pada parking pawl pada gear awda untuk memberhentikan kenderaan, bukanlah pada brek.
Parking pawl merupakan pin atau kunci pada transmisi kereta awda dan malangnya, kunci gear ini boleh patah sekiranya perkara itu berlaku secara berterusan.
Cara yang betul adalah menarik brek tangan sebelum menukar kepada gear P kerana kita tidak mahu kereta bergerak serta berat kereta ditanggung oleh parking pawl semasa proses penukaran gear D kepada gear P.
Tambah-tambah apabila awda meletakkan kenderaan di kawasan yang berbukit. Jika dibiarkan berterusan, awda boleh mendengar sendiri bunyi ‘tendang’ pada kotak gear awda apabila awda ingin menukar gear P ke D ekoran bebanan yang ditanggung lama oleh kotak gear ketika kereta ditinggalkan di kawasan parkir.
BUKIT MENURUN
Sekiranya awda ingin letakkan kereta di kawasan bukit yang menurun, awda digalakkan untuk memusingkan tayar hadapan menghadap ke arah tembok sisi jalan.
Biarkan kereta awda bergerak ke depan secara perlahan-lahan sehinggalah tayar itu menyentuh tembok jalan tersebut. Dengan itu, tembok tersebut boleh dijadikan sebagai penghalang jika kereta awda bergolek secara tiba-tiba.
BUKIT MENAIK
Untuk parkir kereta di kawasan bukit yang menaik pula, sila pu-singkan tayar berlawanan dari arah tembok tepi jalan. Biarkan kereta awda perlahan-lahan mengundur sehingga tayar depan kereta awda menyentuh tembok tepi jalan itu. Ini kerana, jika kereta awda mengundur secara tiba-tiba, tayar depan awda akan dihalang oleh tembok jalan dan mengelakkan kereta daripada terus mengundur ke bawah.
BUKIT/CURAM TANPA TEMBOK JALAN
Jika kawasan bukit atau curam tersebut tidak mempunyai tembok yang boleh dijadikan sebagai penghalang, awda boleh pusingkan tayar ke arah yang berlawanan dari arah trafik.
Ini bagi mengelakkan kereta awda daripada bergerak ke arah jalan raya.
TINGGALKAN RUANG
Jika memarkir kereta menghadap ke atas bukit, pastikan awda meninggalkan ruang di belakang kenderaan.
Manakala, jika memarkir kereta dalam kedudukan menuruni bukit, tinggalkan ruang di hadapan kereta. Ini bagi memudahkan kita mengeluarkan kenderaan kemudian.
PILIH PARKIR DI TEMPAT YANG LEBIH SELAMAT
Jika ada pilihan, sebaiknya elak dari parkir kereta di lokasi berbukit atau curam terutama jika keadaan cuaca hujan lebat. Sekiranya air deras melalui kawasan ini ada kemungkinan terjadi tanah runtuh.
Ingat, jangan mementingkan diri parkir sesuka hati ya. Silalah parkir dengan selamat untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini daripada berlaku.
Malah awda tidak perlu lagi menyendal tayar kereta dengan batu bata untuk elak daripada kereta menggelongsor!
Itu sahaja tip penting yang perlu awda tahu jika meletakkan kereta di kawasan curam. Tak nak buat pun tak apa, tapi tak salah kalau berjaga-jaga kan? Kita pun tak tahu kalau tiba-tiba sistem brek kereta tak berfungsi dan kereta bergolek ke bukit bawah sambil sapu semua rumah jiran. Satu hal pula nak membayarnya nanti. – Agensi