Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Elak kesilapan penggunaan baitcaster

    Oleh Raz AS – 

    Baitcaster merupakan reel yang terbaik digunakan untuk mendapat kawalan penuh terhadap lure yang digunakan pemancing. Oleh yang demikian, tidak hairanlah ramai caster di luar sana yang menjadikan baitcaster sebagai senjata pilihan utama mereka, tidak kiralah dalam kalangan pemancing air tawar mahupun masin, pemburu spesies ikan besar mahupun kecil.

    Penulis sendiri lebih gemar menggunakan baitcaster kerana ia lebih menjimatkan tenaga ketika melakukan lontaran berulang-ulang. Antara model-model baitcaster yang pernah digunakan penulis adalah daripada jenama Daiwa, Kastking, Piscifun dan Shimano, dengan baitcaster yang menjadi kegemaran penulis ketika ini adalah Tranx 150HG daripada jenama Shimano.

    Model Tranx yang sememangnya direka khas oleh Shimano untuk pemancing-pemancing spesies air masin di Amerika Syarikat, penulis rasa sangat sesuai untuk pancingan estuari bagi memburu ikan selongsong, ungah dan sebagainya di negara ini kerana kelasakannya terutama terhadap ancaman air masin.

    Meskipun semua baitcaster ini daripada jenama dan model-model yang berlainan, ia tetap mempunyai ciri mekanikal yang lebih kurang serupa antara satu dengan yang lain. Bezanya sahaja ada yang menggunakan sistem centrifugal brake, ada yang menggunakan sistem magnetic brake dan ada juga yang menggunakan kedua-duanya.

    Oleh yang demikian, jika awda baru saja berkecimpung dalam penggunaan baitcaster, mempunyai dan sudah pandai menggunakan satu model baitcaster, awda pastinya tidak akan menghadapi masalah apabila menggunakan model-model yang lain kerana asasnya tetap sama.

    Baitcaster merupakan reel yang terbaik digunakan untuk mendapat kawalan penuh terhadap lure yang pemancing gunakan. – GAMBAR OLEH OUTDOORLIFE

    Antara persoalan yang menjadi tanda tanya kepada sesetengah pengguna baitcaster adalah bilakah masanya untuk menggunakan tension knob dan sistem brake bagi mengurangkan risiko tali kusut atau backlash.

    Ada masanya si pemancing akan mengetatkan atau mengendurkan tension knob meskipun sebenarnya dia perlu melakukannya pada sistem brake, ada masanya pula sebaliknya.

    Sebenarnya, pemancing tidak perlu banyak bermain dengan tension knob setelah membuat setting yang sesuai padanya ketika awal-awal membuat lontaran. Tension knob yang terlalu kendur akan membuatkan spool pada baitcaster dapat bergerak ke kiri dan kanan, menandakan tidak banyak geseran padanya dan ia boleh berputar dengan bebas. Apabila butang release ditekan, lure awda akan jatuh dengan cepat.

    Sekiranya terlalu ketat pula, spool tersebut tidak akan mempunyai sebarang pergerakan dan apabila butang release ditekan, lure tidak akan jatuh sama sekali.

    Untuk melakukan setting yang betul, pastikan tension knob tidak terlalu ketat atau terlalu kendur. Ini bermakna di kawasan pertengahan di mana cukup spool awda tidak lagi dapat digerakkan ke kiri kanan. Bagi pengguna baitcaster yang baru belajar, tension knob bolehlah diketatkan sedikit manakala yang sudah mempunyai pengalaman boleh mengendurkannya sedikit untuk mendapatkan jarak lontaran yang lebih jauh.

    Apabila lontaran dilakukan, sekiranya backlash berlaku di awal fasa lontaran, ketatkan sedikit tension knob awda, ini bermakna spool awda berputar lebih laju daripada kelajuan lure awda terbang dan tali keluar. Jika ia berlaku di fasa akhir pula, dari pertengahan hingga ketika lure hampir mencecah air, ketatkan sistem brake. Kedua-dua ini boleh disebabkan oleh faktor berat lure dan arah angin bertiup.

    Bermula daripada setting brake yang separuh ketat, contohnya lima bagi sistem magnetik yang mempunyai 10 setting atau tiga untuk sistem centrifugal yang mempunyai enam setting bergantung pada model dan jenama baitcaster, pemancing bolehlah mengurangkan atau menaikkannya sedikit demi sedikit setiap kali ujian lontaran dilakukan untuk mendapatkan sweet spot masing-masing.

    Setelah mendapat setting yang dirasakan sesuai, lakukan lontaran sekurang-kurangnya sebanyak 10 kali tanpa sebarang backlash. Jika backlash berlaku dalam 10 kali lontaran tersebut naikkan sedikit dan ulang langkah itu dari kiraan kosong.

    Dengan setting yang betul selagi mana tension knob dan sistem brake baitcaster awda berfungsi dengan baik, teknik thumbing tidak perlu dilakukan untuk membuat lontaran sejauh 40 meter atau lebih bergantung pada berat lure dan aksi joran yang digunakan.

    Thumbless cast tidak terhad untuk baitcaster yang mempunyai sistem DC sahaja meski model-model tersebut amat memudahkan pemancing untuk membuat lontaran. Walau bagaimanapun, jika menginginkan jarak lontaran yang lebih jauh, perlulah bergantung pada kecekapan ibu jari awda.

    Antara kesilapan yang juga biasa dilakukan dalam penggunaan baitcaster adalah drag yang terlalu longgar. Kebanyakan baitcaster tidak mempunyai sistem clicker, bermakna tidak ada bunyi yang kedengaran ketika tali ditarik keluar seperti ketika menggunakan spinning reel.

    Disebabkan ketiadaan bunyi, pemancing boleh menjadi kurang peka sekiranya drag mereka terlalu longgar sama ada disebabkan drag star terpusing secara tidak sengaja atau disebabkan tidak melakukan ujian drag sebelum memancing.

    Sentiasa pastikan drag disesuaikan terlebih dahulu setiap kali sebelum lontaran pertama dilakukan atau setiap kali selepas pertarungan. Drag yang kendur tidak dapat memberikan kekuatan hook set yang cukup untuk lure bermata kail tunggal seperti softplastic untuk menancap kemas pada mulut ikan yang bermulut keras, terutama yang menggunakan Texas rig.

    Kesilapan ini dilakukan sendiri oleh penulis baru-baru ini apabila ikan yang menyambar lure terlepas begitu sahaja kerana hook set tidak kemas akibat drag longgar dan mata kail tidak terkeluar daripada badan softplastic. Ikan terlepas, berputih mata yang kedengaran hanyalah jeritan kecewa.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda