Thursday, April 24, 2025
26 C
Brunei

    Berita Terkini

    Elak labah-labah bersarang di cermin sisi kereta!

    Segelintir pemilik kereta mungkin menyedari bahawa labah-labah suka membuat sarang di cermin sisi kereta. Walaupun dihapuskan, labah-labah tetap akan kembali dan masalah yang sama masih timbul.

    Jika awda mengalami masalah yang sama, jom ikuti beberapa tip dari blog Wapcar.My yang boleh dicuba untuk menangani masalah tersebut.

    MENGAPA CERMIN SISI MENJADI PILIHAN?

    Labah-labah cenderung tinggal di kawasan terpencil dan tidak terganggu seperti di bawah tangga atau di dalam almari lama yang berdebu.

    Namun, mengapa cermin sisi yang menjadi pilihan? Jawapannya, terdapat rongga di sebalik cermin di perumahan cermin sisi.

    Tambahan pula, banyak ruang di celah-celah komponen elektrik memberi tarikan kepada labah-labah untuk tinggal di dalamnya. Ia adalah tempat yang selamat untuk bersembunyi daripada pemangsa labah-labah seperti burung dan cicak.

    Terdapat beberapa cara yang disarankan untuk menghalau labah-labah dari tinggal di tempat berkenaan kerana itulah punca sebenar masalah sarang labah-labah timbul.

    Labah-labah cenderung tinggal di kawasan terpencil dan tidak terganggu. – wapcar.my
    Gambar Freepik
    Cuba gosok kulit lemon di sekitar cermin sisi atau membuat semburan dengan menggunakan air lemon. – Freepik
    Gambar Freepik

    1. Pancutkan air di sekeliling cermin

    Kaedah pertama adalah yang paling mudah, hanya pancutkan sahaja air di sekeliling cermin sisi ke dalam perumah untuk menghalaunya.

    Namun, kaedah itu kurang terjamin keberkesanannya kerana labah-labah mungkin kembali ke tempat tersebut apabila ia kering.

    2. Pancutkan racun serangga di sekeliling cermin

    Kaedah seterusnya adalah dengan cara menyembur racun serangga di dalam cermin sisi seperti kaedah pertama tadi.

    Perlu diingat bahawa racun serangga mungkin sedikit kuat sehingga mampu merosakkan cat kereta, justeru berhati-hati dengan kaedah itu.

    3. Buka seluruh cermin sisi dan bersihkan

    Sekiranya awda tidak mahu mengambil risiko kerosakan cat, awda boleh membuka bahagian cermin sisi dan membersihkannya dari dalam.

    Kebanyakan cermin sisi boleh dibuka dan dipasang semula tetapi ia mampu menimbulkan risiko cermin pecah. Sebaiknya, mereka yang lebih arif seperti mekanik mampu membantu awda dalam kaedah ini.

    4. Gunakan asid semula jadi

    Diketahui umum bahawa labah-labah tidak menggemari sitrus atau pudina, jadi mencuba gosok kulit lemon di sekitar cermin sisi atau membuat semburan dengan menggunakan air lemon. Selain itu, cuka juga boleh dipertimbangkan.

    Masih ada satu lagi solusi sekiranya kesemua kaedah di atas gagal. Jangan kerana marahkan labah-labah, kereta dibakar.

    5. Elak daripada meletakkan kereta berdekatan dinding

    Sekurang-kurangnya elakkan daripada meletakkan kenderaan berdekatan dengan dinding. Langkah itu dapat membantu mengelakkan daripada labah-labah ‘melompat’ ke kereta awda lalu membuat sarang.

    Malah, tabiat melipat cermin sisi ketika meletakkan kenderaan adalah satu tabiat yang baik dan patut diamalkan.

    Labah-labah cenderung mencetuskan kegelisahan dan ketakutan pada diri kita namun perlu diingatkan bahawa hanya sebilangan kecil spesies labah-labah yang mengandungi racun yang mengancam manusia.

    Selain itu, labah-labah adalah pemangsa yang bermanfaat bagi memastikan jumlah serangga lain tetap terkawal.

    Jika difikirkan semula, tidak salah membenarkan labah-labah kecil untuk bersarang di cermin sisi kereta namun kita tidak tahu apa masalah lain yang bakal timbul sekiranya ia dibenarkan berleluasa.

    Analogi mudah, adakah awda akan membiarkan sebarang serangga untuk hidup dan bersarang di kereta awda? – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda