Khamis, November 20, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Elak lakukan kerosakan, kebinasaan, kecuaian di jalan raya’

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 NOV – Khutbah Jumaat pada minggu ini menekankan kepentingan mengamalkan ketakwaan kepada Allah SWT serta memelihara keselamatan diri ketika berada di jalan raya, termasuk kewajipan menjauhi sebarang bentuk kelalaian yang boleh mengundang kemudaratan.

    Menurut khatib dalam khutbah berkenaan, jemaah diingatkan bahawa orang yang paling mulia di sisi Allah SWT ialah mereka yang bertakwa dan dengan sifat tersebut seseorang akan memperoleh kesejahteraan di dunia serta keselamatan di akhirat.

    Jemaah turut diseru mensyukuri nikmat kemudahan infrastruktur yang disediakan kerajaan, termasuk jalan raya yang merupakan kemudahan awam untuk kegunaan harian rakyat.

    Bagaimanapun, jalan raya bukanlah tempat untuk menunjukkan keberanian atau kehebatan. Sebaliknya ia menuntut setiap pengguna menjaga serta memelihara keselesaan dan keselamatan bersama.

    Khutbah turut menegaskan bahawa Islam melarang umatnya melakukan perkara yang boleh membawa kerosakan atau kebinasaan, termasuk kecuaian ketika berada di jalan raya.

    Menurut laporan Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas, Pasukan Polis Diraja Brunei, sehingga bulan September tahun ini sahaja sebanyak 18 nyawa telah terkorban dan 325 kecederaan direkodkan akibat kemalangan jalan raya

    Angka tersebut disifatkan amat membimbangkan. Antara punca utama kemalangan yang dinyatakan termasuk sikap leka semasa memandu, memotong secara merbahaya, tidak menjaga jarak kenderaan, memandu melebihi had laju ditetapkan, menggunakan telefon bimbit ketika memandu serta tidak mematuhi lintasan dan jalan khusus untuk pejalan kaki.

    Khatib dalam khutbahnya mengajak masyarakat mengambil iktibar daripada kejadian-kejadian tersebut dengan mempertingkatkan disiplin dan sikap berhati-hati ketika berada di jalan raya.

    Pengguna jalan raya turut diingatkan agar mematuhi undang-undang lalu lintas bagi mengelakkan kemudaratan terhadap diri sendiri mahupun orang lain. Menjaga keselamatan jalan raya, menurut khutbah, adalah sebahagian daripada amanah dan tanggungjawab kepada Allah SWT.

    Jemaah juga disarankan supaya sentiasa bersedia dan berhemah ketika memandu dengan memastikan keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain. Khutbah mengingatkan agar pemandu tidak bersikap mementingkan diri, sebaliknya memandu mengikut keadaan jalan serta mengelakkan sikap tergesa-gesa. Pemeriksaan kenderaan sebelum memulakan perjalanan juga dititikberatkan.

    Selain langkah fizikal, umat Islam digalakkan memohon perlindungan Allah SWT dengan membaca doa dan zikir sebelum memulakan perjalanan, termasuk doa ketika keluar rumah dan doa menaiki kenderaan yang diajarkan Rasulullah SAW.

    Khutbah turut mengemukakan ayat-ayat Al-Quran serta doa-doa yang diamalkan Baginda SAW sebagai panduan untuk memperoleh keselamatan sepanjang perjalanan.

    Mengakhiri khutbah, jemaah dipanjatkan doa agar sentiasa dilindungi daripada segala perkara yang tidak diingini, diberikan keselamatan dan berada dalam rahmat Allah SWT pada setiap perjalanan.

    Umat Islam digalakkan memohon perlindungan Allah SWT sebelum memulakan perjalanan. – Gambar hiasan Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda