Wednesday, February 5, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Elak panas, bersenam dalam pusat beli-belah

    RIYADH – Kedai-kedai masih belum dibuka, namun ruang legar berhawa dingin di pusat beli-belah Riyadh tetap sesak – syurga untuk pejalan kaki dan pelari yang bersyukur bagi tempat sejuk untuk bersenam.

    Orang ramai pada awal pagi termasuk jurutera Mohammed Sultan berusia 55 tahun, dalam kemeja-T putih dan kasut hitam, membuat pusingan mengelilingi pusat beli-belah dengan diekori oleh isterinya yang berniqab.

    “Ia terlalu panas di luar untuk bersenam. Cuaca di sini sejuk dan tidak menyebabkan dahaga,” kata Sultan, sambil menyatakan bahawa walaupun pada bulan Oktober, penghujung tempoh panas di Arab Saudi, suhu siang hari masih boleh mendekati 40 darjah Celsius.

    “Berjalan di gim (di atas treadmill) sangat membosankan,” tambah beliau sambil ketawa.

    Ia adalah pemandangan yang disaksikan setiap hari di pusat membeli-belah di seluruh ibu kota Saudi, menonjolkan bagaimana minat yang semakin meningkat terhadap kecergasan fizikal di kerajaan Teluk itu ber-tembung dengan kekurangan ruang yang sesuai untuk bersenam.

    Wanita-wanita Saudi bersenam di pusat beli-belah di Riyadh pada 15 Oktober 2023. – AFP
    Gambar AFP
    Wanita-wanita Arab Saudi bergambar sebelum bersenam di sebuah pusat beli-belah di Riyadh. – AFP

    Lama popular di Amerika Syarikat, sebuah lagi negara yang mengutamakan kereta dengan masalah obesiti, berjalan-jalan di pusat membeli-belah semakin menjadi sukan Saudi.

    Kira-kira satu daripada lima orang dewasa Saudi mengalami obesiti, menurut kajian mendalam yang diterbitkan oleh Bank Dunia tahun lalu yang menyifatkan isu itu sebagai ‘membimbangkan’.

    Untuk membantu menurunkan peratusan itu, Saudi Sports for All Federation kini menganjurkan perlumbaan seperti Marathon Riyadh, yang tahun ini menarik ribuan pelari ke jalan-jalan di ibu negara.

    Namun acara sebegini agak tidak teratur, dan gim-gim yang baru muncul di Riyadh
    sering mengenakan bayaran tinggi – menghilangkan minat rakyat Saudi yang menolak mesin-mesin mewah dan hanya memerlukan ruang untuk meregangkan kaki mereka.

    Pegawai-pegawai telah memulakan pembinaan Boulevard Sukan sepanjang 135 kilometer di ibu negara yang menampilkan laluan pejalan kaki, basikal dan menunggang kuda.

    Walau bagaimanapun, projek itu – yang ditakrifkan oleh penganjur-penganjur sebagai ‘tulang belakang hijau melalui bandar’ dengan ‘ciri-ciri air penyejuk’ dan padang bola sepak terlindung – memerlukan masa bertahun-tahun untuk disiapkan.

    Itu menjadikan pusat beli-belah sebagai ‘satu-satunya pilihan’ untuk ramai orang – sekurang-kurangnya buat masa ini, kata ekspatriat Australia, Zuzana Kalou yang membentuk kumpulan berjalan kaki wanita di Riyadh pada 2020 yang bertemu empat kali seminggu di pusat membeli-belah yang berbeza.

    “Pusat beli-belah ini selamat untuk wanita, berhawa dingin dan terkawal. Tiada pencemaran, tiada habuk, tiada lalu lintas,” katanya kepada AFP ketika lebih 20 orang
    ahli kumpulannya berjoging melepasi kedai-kedai pada suatu pagi baru-baru ini.

    Persekitaran yang tertutup itu juga menjamin orang ramai boleh bersenam walaupun dalam cuaca kurang ideal, seperti ribut pasir musim bunga atau hujan musim sejuk, kata pakar pemakanan Saudi, Laila al-Rifai, ahli kumpulan Kalous.

    “Pusat-pusat komersil adalah penyelesaian ideal untuk terus berjalan pada bila-bila masa sepanjang hari, pada bila-bila masa sepanjang tahun,” katanya.

    Hassan Merhi, seorang jurulatih kecergasan Lubnan yang berpangkalan di Riyadh, menggalakkan pelanggannya untuk berjalan di luar rumah sebanyak mungkin, sambil menyatakan bahawa kebanyakan kajian menunjukkan ia menawarkan senaman yang lebih baik daripada berada di dalam.

    “Ia membantu membakar lemak lebih cepat dan mengurangkan tekanan,” kata beliau.

    Tetapi Batoul Zind al-Hadid, 41, dari Syria, berkata berjalan kaki di pusat membeli-belah adalah ‘sangat baik untuk mereka yang masih merasai langkah pertama mereka’.

    Ia bukan sahaja cenderung untuk menjadi lebih sosial, dengan kumpulan berkumpul di ruang yang sama, ia juga membolehkannya mengikuti trend fesyen terkini dengan
    melihat tingkap paparan.

    Ia, katanya, “pengalaman yang lebih komprehensif dan menghiburkan”. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda