Jumaat, 21 November 2025
27.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Elak pertembungan kunci kemenangan PRN Sabah ke-17 – Saifuddin Nasution

    PUTRAJAYA, 12 NOV – Pakatan Harapan (PH) yakin bahawa kunci utama untuk meraih kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 adalah dengan mengelak sebarang pertembungan dengan Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

    Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata beliau telah diamanahkan oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk mengetuai rundingan dengan BN dan GRS bagi mengelak atau meminimumkan pertembungan dengan rakan kerjasama.

    Beliau yang merupakan Pengarah Bersama PRN Sabah berkata rundingan pembahagian kerusi dengan BN menunjukkan hasil positif apabila tiada pertembungan antara kedua-dua parti itu, manakala rundingan dengan GRS juga telah dimuktamadkan.

    “Idea terbaik (rundingan kerusi) adalah elak (pertembungan) sama sekali tetapi kalau tidak dapat elak, minimumkan sedapat mungkin. Tujuannya adalah meningkatkan kebolehmenangan.

    “Itu yang saya selesaikan (rundingan kerusi) lebih kurang seminggu lepas, bila saya susun untuk GRS bertemu dengan Datuk Seri Anwar di Kuala Lumpur diikuti dengan pertemuan BN,” katanya dalam satu temubual eksklusif dengan Bernama diketuai Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj di pejabat beliau.

    Saifuddin Nasution berkata meskipun rundingan telah dimuktamadkan, masih wujud permintaan daripada kesemua parti berhubung pembahagian kerusi bagi PRN Sabah ini.

    “Sehari dua ini ada satu atau dua permin-taan di pihak BN, GRS serta PH. Saya percaya sehingga hari penamaan calon, satu atau dua kerusi itu masih boleh kita uruskan.

    “Hakikatnya kita dah pun muktamadkan (kerusi) tetapi dynamic (akar umbi) bawah itu membawa kepada permintaan, tapi umumnya saya boleh buat kesimpulan bahawa kita sudah selesaikan (rundingan dengan BN dan GRS),” katanya.

    Saifuddin Nasution berkata proses rundingan kerusi merupakan tugas berat dan memerlukan masa yang panjang namun pengalaman beliau sejak 1999, banyak membantu melancarkan proses berkenaan. – Bernama

    Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (kanan) bercakap dalam satu temu bual eksklusif dengan di pejabat beliau, pada 11 November. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda