Oleh Raz AS –
Ada sesetengah orang yang berminat dengan aktiviti memancing tetapi tidak memiliki peralatan-peralatan yang diperlukan. Hal ini mungkin disebabkan pelbagai faktor, antaranya disebabkan tidak mempunyai banyak masa jadi kalaupun mereka membeli peralatan pancing tetapi amat jarang digunakan boleh dianggap sebagai satu pembaziran, atau disebabkan baru hendak berjinak-jinak, atau sekadar suka-suka memancing hendak mencuba sebagai riadah, atau disebabkan faktor kewangan dan pelbagai lagi.
Bagi mereka yang tidak mempunyai peralatan pancing tetapi hendak menjalankan aktiviti memancing mungkin boleh menyewa peralatan tersebut dari mana-mana tempat atau sesiapa sahaja yang menawarkan perkhidmatan sewa peralatan pancing, ataupun kalau ada kawan-kawan yang bermurah hati mungkin juga boleh meminjam daripada mereka.
Walau bagaimanapun, sebaiknya elakkanlah daripada mengamalkan sikap suka meminjam-minjam, jika sekali-sekala atau ketika awal-awal mencebur diri dalam hobi memancing mungkin lebih senang diterima, tetapi jika berkali-kali dan terlalu malar berkemungkinan ia boleh membuat orang terusik hati lebih-lebih lagi sekiranya barang yang dipinjam itu rosak atau ‘dicukai’.
Barangkali di dalam hati kita sebagai si peminjam berkata, “ah sekadar atu pun kan berkira”, bagi kita jika tali pancing, mata kail, batu ladung, lure dan sebagainya putus itu mungkin sekadar perkara kecil dan remeh-temeh, tidak separah dengan joran patah atau reel rosak.
Namun jika berulang-ulang kali berlaku pastinya si pemilik terpaksa lebih kerap menstok semula peralatannya dan ini menyebabkannya mengeluarkan lebih banyak perbelanjaan berulang-ulang, belum lagi termasuk tenaga dan masanya untuk berkunjung ke kedai pancing.

Lain lagi halnya jika si peminjam mengambil masa yang lama untuk memulangkan kembali peralatan joran dan reel yang dipinjam, sehinggakan si pemilik pula yang terpaksa sibuk-sibuk menghubungi si peminjam demi menagih kembali peralatannya sedangkan si peminjam buat-buat lupa seakan-akan peralatan itu miliknya sendiri.
Natijahnya, rakan-rakan yang selalu turun memancing dengan kita boleh bermasam muka atau berkata-kata, lebih teruk lagi mereka enggan turun memancing bersama kita di kemudian hari kerana mereka terpaksa menanggung kerugian dan perbelanjaan lebih.
Sebenarnya, ini bukanlah perkara yang ‘mungkin’ atau ‘barangkali’ berlaku, tetapi realitinya benar-benar terjadi dan jumlahnya pula boleh dikatakan bukannya sedikit.
Kedengaran keluhan daripada pemancing-pemancing mengatakan mereka enggan turun memancing dengan salah seorang kenalan masing-masing disebabkan tabiat suka meminjam, “abis batu sama mata kail ku dikerajakannya, urang lain inda jua balik-balik putus.”
Lebih sakit lagi, “sanang hidupnya eh, membawa urang mengail tapi ia membawa badan saja, barang semua pinjam, umpan pun inda ya keluar duit.” Sehingga kita yang mendengarnya pun berasa kurang enak dalam hati, hanya mampu mengangguk-anggukkan kepala.
Jadi bagi mereka yang ingin menceburi diri dalam hobi memancing sebaik-baiknya belilah peralatan sendiri, tidak perlu terikut-ikut orang lain menggunakan peralatan berjenama dan mahal, ukur baju di badan sendiri, berbelanjalah mengikut kemampuan masing-masing.

