Wednesday, July 16, 2025
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Elakkan perkara makruh dalam sembahyang

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    IBADAT sembahyang terdiri daripada syarat-syarat, rukun-rukun, perkara-perkara sunat dalam sembahyang dan lain-lain lagi yang wajib dipelajari dengan mendalam oleh setiap muslim agar tidak akan berlaku kesilapan ketika melaksanakannya. Kesilapan yang dilakukan dalam sembahyang akan mendatangkan kerugian kerana ianya merosakkan kesempurnaan pahala sembahyang.

    Salah satu jalan untuk mendapatkan kesempurnaan pahala sembahyang adalah dengan mengelakkan diri dari melakukan perkara makruh dalam sembahyang.

    Makruh ialah meninggalkan sesuatu perkara yang dibenci dan akan diberi ganjaran pahala bagi orang yang meninggalkannya, sementara itu tidak pula berdosa bagi yang melakukannya. Walau bagaimanapun, melakukannya akan mendatangkan kerugian kerana kehilangan pahala.

    Perkara makruh dalam sembahyang

    Melakukan perkara makruh dalam sembahyang boleh mendatangkan kesan kepada kesempurnaan pahala sembahyang.

    Oleh yang demikian, dengan mempelajari secara mendalam tentang setiap perkara yang berkaitan dengan sembahyang akan dapat mengelakkan seseorang dari melakukan perkara makruh dalam sembahyang itu.

    Antara perkara makruh dalam sembahyang:

    1. Meninggalkan perkara sunat dalam sembahyang

    2. Menoleh

    Makruh menoleh ke kanan atau ke kiri ketika dalam sembahyang jika tidak ada hajat.

    Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan dari ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha, katanya yang maksudnya:

    “Saya bertanya kepada Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam tentang menoleh dalam sembahyang. Maka Baginda bersabda: “Ia adalah satu curian, iaitu syaitan mencuri (kekhusyukan) dari sembahyang seorang hamba dengan (perbuatan) menoleh itu”.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

    Berkata Adzra‘ie Rahimahullah: “Jika dia senghaja melakukannya, sedangkan dia tahu perbuatan menoleh itu adalah makruh, maka hukumnya haram, bahkan menjadi batal jika dia melakukannya secara olok-olok (main-main).”

    Jika seseorang menolehkan mukanya dan berpaling dadanya dari kiblat, maka batal sembahyangnya.

    Melirik-lirikkan mata atau mengerlingkan mata tanpa menolehkan muka adalah harus.

    3. Mendongakkan muka ke langit

    Makruh mendongakkan muka atau pandangan ke langit ketika di dalam sembahyang, walaupun bagi orang buta.

    Anas Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya:

    “Bagaimanakah keadaan kaum yang mendongak pandangan mereka ke langit di dalam sembahyang mereka?” Baginda mengeraskan percakapannya tentang perkara itu sehingga Baginda bersabda: “Demi sesungguhnya mereka hendaklah menghentikannya (mendongak ke langit ketika sembahyang), atau demi sesungguhnya akan disambar pandangan mereka itu.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

    Begitu juga makruh melihat atau merenung benda-benda yang boleh mengalihkan perhatian dari sembahyang seperti melihat atau merenung tanda-tanda pada baju atau sebagainya.

    Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha, katanya yang bermaksud:

    “Bahawasanya Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam sembahyang pada kain segi empat yang ada padanya tanda-tanda. Baginda memandang kepadanya dengan sekali pandangan. Setelah Baginda selesai sembahyang, Baginda bersabda: “Pergilah dengan kain segi empat yang ada tanda-tanda ini kepada Abu Jaham, dan bawalah kepadaku kain tebal (yang tidak ada tanda) milik Abu Jaham. Sesungguhnya kain segi empat yang bertanda itu membuatkan aku lengah (lalai) dari sembahyangku.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

    Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam menghantar kain segi empat yang ada tanda-tanda tersebut kepada Abu Jaham Radhiallahu ‘anhu kerana beliau yang menghadiahkannya kepada Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Malik Rahimahullah dalam kitab Muwattha’.

    4. Melipat rambut atau melipat baju

    Makruh melipat rambut seperti menyanggulnya atau memasuk-masukkannya ke bawah serban ketika di dalam sembahyang. Begitu juga makruh melipat baju seperti melipat lengan bajunya dan lain-lain lagi.

    Diriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya:

    “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam diperintahkan (oleh Allah) untuk bersujud pada tujuh anggota tubuh dan tidak melipat rambut atau pakaian (pada waktu sembahyang). Anggota-anggota itu adalah dahi, kedua tangan, kedua lutut dan kedua kaki.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

    5. Meletakkan tangan di mulut

    Makruh meletakkan tangan di mulut tanpa ada hajat atau tujuan. Begitu juga dengan perbuatan mematah-matahkan jari atau mencelah-celahi jari, meletakkan tangan di hidung atau di mulut. Ini kerana, perbuatan seumpama ini boleh menjejaskan khusyu‘ dalam sembahyang.

    Makruh menguap dalam sembahyang pada keadaan dirinya mampu untuk menahan dari menguap. Sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu yang maksudnya:

    “Adapun menguap itu, maka sesungguhnya ianya adalah daripada (gangguan) syaitan, maka tegahlah ia (tegah diri dari menguap) selagi mampu. Maka apabila seseorang berkata: “haa”, ketawalah (kerananya) syaitan.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

    Namun, sunat meletakkan tangan di mulut ketika menguap di dalam sembahyang. Terdapat beberapa pendapat mengenai tangan yang digunakan untuk menutup mulut ketika menguap:

    Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah: Boleh menggunakan antara tangan kanan atau kiri bagi tujuan tersebut.

    Menurut Imam ar-Ramli Rahimahullah: Sunat digunakan tangan kiri.

    Menurut Imam Syabramallisi dan Imam al-Qalyubi Rahimahumallah: Adalah lebih utama menggunakan belakang telapak tangan sebelah kiri.

    6. Menutup mata

    Makruh menutup kedua kelopak mata ketika sembahyang tanpa ada hajat atau keperluan. Tidak makruh jika menutup keduanya kerana ada hajat, bahkan dihukumkan wajib pada sesetengah keadaan, umpamanya menutup mata agar menegah dari memandang perkara-perkara yang haram.

    Berkata sebahagian ulama: Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam melarang dalam sembahyang perbuatan menyapu batu-batu kecil dan menyapu dahi dari kesan tanah (ketika sujud), meniup-niup, mematah-matahkan jari, menyelat-nyelati jari, menutup mulut dan telinga, menutup mata dan mengeliat.

    7. Berdiri dengan sebelah kaki

    Makruh berdiri dengan sebelah kaki iaitu dengan mengangkat sebelah kaki tanpa ada sebab, kerana ianya membebankan serta menghilangkan kekhusyu‘an dalam sembahyang. Namun jika ada sebab atau keuzuran seperti sakit sebelah kakinya atau patah, maka tiadalah dihukumkan makruh.

    Begitu juga makruh hukumnya mendahulukan (mendepankan) sebelah kakinya ketika berdiri sembahyang.

    8. Sembahyang dalam keadaan menahan diri dari membuang air kecil atau air besar

    Makruh mendirikan sembahyang dengan keadaan menahan diri dari membuang air kecil atau air besar atau membuang angin (menahan dari kentut). Bahkan menjadi haram jika menahan itu akan memberi mudharat kepada dirinya.

    Sunat membuang air kecil, air besar atau berkentut sebelum menunaikan sembahyang walaupun terpaksa meninggalkan sembahyang jemaah, asalkan tidak keluar dari waktu sembahyang atau masih luas waktunya.

    Bersambung

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda