(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Wudhu’ merupakan satu ibadat yang sangat tinggi nilai dan peranannya dalam Islam. Ia merupakan kunci bagi ibadat sembahyang. Jika wudhu’ tidak sah, maka sembahyang juga menjadi tidak sah. Tanpa wudhu’ juga tawaf tidak sah dan diharamkan menyentuh al-Qur’an.
Pengetahuan asas tentang tatacara mengerjakan wudhu’ sememangnya tidak menjadi isu bagi seorang muslim kerana ia merupakan rutin harian yang wajib dikerjakan sekurang-kurangnya lima kali sehari, iaitu ketika hendak mengerjakan sembahyang fardhu lima waktu. Tambahan lagi, tatacara mengerjakan wudhu’ ini sudah pun diajarkan pada peringkat awal persekolahan lagi sepertimana yang berlaku di negara ini. Walaupun demikian, terdapat beberapa permasalahan khusus mengenai wudhu’ yang mungkin kurang diketahui atau kurang jelas maklumatnya di kalangan sebahagian orang awam.
Antaranya ialah mengenai perkara-perkara makruh dalam berwudhu’.
Perkara-perkara makruh dalam berwudhu’ sangat penting diketahui kerana ia bersangkut paut dengan kesempurnaan tuntutan wudhu’ itu sendiri. Jika perkara-perkara makruh dalam berwudhu’ itu dilakukan, walaupun wudhu’nya tetap sah, ia dinilai kurang sempurna dan akan kerugian pahala.

Menurut ulama mazhab asy-Syafi‘i, perkara-perkara makruh dalam berwudhu’ adalah seperti berikut:
(1) Membazir air dan berlebih-lebihan dalam menggunakannya ketika berwudhu’.
Ini boleh berlaku dengan menggunakan air melebihi daripada kadar yang mencukupi bagi memenuhi tuntutan wajib dan sunat dalam berwudhu’.
Ulama sepakat mengatakan bahawa membazir air merupakan suatu perbuatan yang ditegah walaupun pada ketika itu air banyak dan mudah diperolehi. Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah, pendapat yang azhar mengenai hukum tegahan ini adalah makruh.
Bagaimanapun, tegahan ini tidak boleh sekali-kali diambil ringan kerana sebahagian ulama mazhab asy-Syafi‘i, antaranya Imam al-Baghawi dan Imam al-Mutawalli Rahimahumullah menghukumkannya sebagai haram.
Dalam perkara menjimatkan air ketika berwudhu’ ini, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam merupakan ikutan terbaik. Menurut perkhabaran riwayat-riwayat hadits, kadar air wudhu’ Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sepertimana yang diriwayatkan oleh para sahabat Baginda adalah satu mud atau dua pertiga mud sahaja.
Adapun kadar satu mud itu adalah satu perempat sha‘. Menurut pendapat yang masyhur dan tepat, ini bersamaan dengan satu, satu pertiga (1⅓) rithl Baghdadi. Kadar berkenaan adalah lebih kurang sekitar 0.567 hingga 0.7 liter atau 567 hingga 700 mililiter.
Sungguhpun demikian, menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah, tidaklah disyaratkan kadar tertentu dalam penggunaan air ketika berwudhu’. Selagimana ia adalah kadar yang mencukupi bagi setiap anggota, maka yang demikian itu adalah memadai walau berapa pun kadarnya.
Ini bermaksud ia tertakluk kepada keadaan fizikal tubuh badan masing-masing, sama ada kadar air yang mencukupi itu adalah satu mud, atau kurang daripada satu mud. Bahkan tidak ada tegahan jika kadar air yang cukup untuk membasuh anggota-anggota wudhu’ itu lebih daripada kadar satu mud, selagimana kadar lebih daripada satu mud itu tidak membawa kepada pembaziran. Begitu juga tidak ada tegahan jika kadar air yang cukup untuk membasuh anggota-anggota wudhu’ itu kurang daripada kadar satu mud, selagi mana kadar kurang daripada satu mud itu tidak menyebabkan tidak tertunai tuntutan wajib.
Bersambung

