Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Elakkan perkara-perkara makruh dalam berwudhu’

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Sambungan minggu lepas

    (2) Mendahulukan membasuh anggota yang kiri daripada kanan ketika membasuh kedua tangan hingga siku atau ketika membasuh kedua kaki. Begitu juga makruh hukumnya membasuh kedua tangan hingga siku atau kedua kaki secara serentak di antara anggota kanan dan kiri.

    Ini kerana perbuatan tersebut berlawanan dengan perbuatan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam serta anjuran umum supaya mendahulukan anggota-anggota kanan (at-tayamun) dalam semua perkara yang baik-baik.

    ‘Aishah Radhiallahu ‘anha berkata yang maksudnya:“Adalah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam itu menggemari at-tayamun (mendahulukan anggota yang kanan) ketika memakai sandal dan ketika menyikat rambut dan ketika dia bersuci, (serta) dalam segenap urusannya”. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

    Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah, at-tayamun ini merupakan satu kaedah umum yang dituntut ketika mengerjakan perkara-perkara baik dan mulia seperti ketika memakai pakaian, memakai kasut, masuk masjid, keluar tandas, memotong kuku, memberi salam ketika sembahyang dan sebagainya.

    Adapun dalam perkara-perkara yang sebaliknya, iaitu perkara-perkara yang tidak dinilai sebagai perkara-perkara yang mulia, seperti memasuki tandas, keluar dari masjid, istinja’, membuka pakaian, membuka kasut dan sebagainya pula disunatkan at-tayasur iaitu mendahulukan yang kiri. Sepertimana yang disebutkan tadi bahawa dalam berwudhu’, tegahan ini khusus ketika membasuh kedua tangan hingga siku serta kedua kaki sahaja.

    Adapun ketika membasuh anggota lain seperti kedua telinga misalnya, tidak disunatkan at-tayamun bahkan dituntut untuk membasuhnya secara serentak.

    Gambar Canva

    (3) Membasuh atau mengusap anggota wudhu’ melebihi daripada tiga kali atau mengurangi daripada kadar tersebut secara yakin dan senghaja.

    Ini kerana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengerjakan wudhu’ secara tiga-tiga kali. Maka menyalahi perbuatan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dianggap menyalahi sunnah.

    Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amr bin al-‘Ash Radhiallahu ‘anhuma, setelah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengambil air wudhu’ secara tiga-tiga kali, Baginda lalu bersabda yang maksudnya:“Beginilah cara berwudhu’ (secara tiga-tiga kali). Barangsiapa yang menambah atau mengurangi daripada kadar ini, maka sesungguhnya dia telah berbuat kesalahan dan aniaya.” (Hadits riwayat Abu Daud)

    Adapun perbuatan ini dilarang dan dianggap berbuat kesalahan dan aniaya ialah kerana perbuatan tersebut menyalahi yang lebih utama serta menyalahi sunnah yang telah dicontohkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam.

    Walau bagaimanapun, tuntutan mengerjakan wudhu’ secara tiga-tiga kali ini perlu ditinggalkan sekiranya terdapat keuzuran. Contohnya, waktu sembahyang hampir habis di mana jika dia mengerjakan wudhu’ secara tiga-tiga kali dia akan terluput sembahyang fardhu, atau air hanya cukup untuk mengerjakan tuntutan fardhu wudhu’ sahaja, atau dia akan terlepas sembahyang jemaah jika dia mengerjakan wudhu’ secara tiga-tiga kali. Maka dalam hal ini tidak makruh dia mengurangi daripada tiga kali.

    (4) Meminta bantuan daripada orang lain untuk membasuh anggota wudhu’nya tanpa apa-apa keuzuran seperti sakit dan seumpamanya.

    Ini kerana perbuatan seumpama itu merupakan salah satu bentuk takabbur yang bertentangan dengan konsep serta ruh peribadatan.

    Walau bagaimanapun, menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami, Imam Khathib asy-Syarbini dan lainnya Rahimahumullah, meminta bantuan daripada seseorang untuk mengambilkan air ataupun untuk menuangkan air ke anggota wudhu’ tidak dihukumkan makruh. Adapun yang dimakruhkan adalah meminta bantuan daripada orang lain untuk membasuhkan anggota wudhu’nya sahaja.

    (5) Berlebih-lebihan ketika berkumur-kumur dan memasukkan air ke lubang hidung bagi orang yang sedang berpuasa.

    Ini kerana perbuatan tersebut dikhuatiri boleh menyebabkan batal puasa sekiranya air masuk melewati bahagian had batin mulut atau melebihi pangkal hidung.

    Berlebih-lebihan yang dimaksudkan ketika berkumur-kumur itu ialah memasukkan air ke seluruh bahagian mulut, iaitu berkumur-kumur (bergelagak) sehingga air sampai ke bahagian langit-langit paling dalam. Manakala berlebih-lebihan semasa memasukkan air ke lubang hidung itu bererti menyedut air dengan nafas hingga sampai ke pangkal hidung (khaisyum).

    (6) TIDAK MENYELATI JANGGUT YANG TEBAL

    Bagaimanapun, perlu diingat bahawa menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah dalam al-Minhaj al-Qawim, bagi orang yang sedang berihram, hendaklah dia melakukannya dengan lembut dan perlahan bagi mengelakkan bulu janggutnya gugur.

    Demikian penjelasan mengenai perkara-perkara yang makruh dilakukan ketika berwudhu’.

    Apa yang perlu ditekankan di sini, sebagai seorang muslim yang bertaqwa dan sentiasa mengharapkan keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan sentiasa berusaha untuk mengamalkan dan menghidupkan sunnah serta ajaran Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, perkara-perkara yang makruh dilakukan ketika berwudhu’ ini sewajarnya dielakkan. Ini kerana dengan melakukannya, wudhu’ kita menjadi kurang sempurna dan kita akan kekurangan pahala sedangkan untuk meraih kesempuraan wudhu’ itu bukanlah satu perkara yang susah.

    Maka sayugia jangan dipandang ringan perkara ini dan kerjakanlah wudhu’ dengan sebaik-baiknya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda