Friday, April 25, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Elakkan sifat tamak

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 NOV – Salah satu sifat keji yang terdapat dalam hati itu ialah sifat tamak yang ingin memiliki sesuatu tanpa batas dan selalu berasa tidak cukup, sentiasa menyebabkan seseorang melakukan kerja yang hina seperti membolot, merampas, menipu, mengambil hak orang lain dan seumpamanya.

    Khatib dalam khutbah Jumaat hari ini, menekankan bahawa mereka yang bersifat tamak akan bertindak dengan rakus menurut kehendak hawa nafsu tanpa mempedulikan halal atau haram.

    “Hal ini boleh menimbulkan rasa benci, rasa tidak puas, rasa tidak puas hati, pergaduhan, perpecahan, perselisihan faham, dendam, permusuhan dan sebagainya,” tegasnya.

    Menurut khatib, pada masa ini manusia lebih cenderung kepada kehidupan yang mementingkan kepada harta benda, wang ringgit, pangkat kebesaran, kehidupan seumpama, yang mana ini boleh saja mempengaruhi seseorang itu untuk bersifat tamak dan mementingkan diri sendiri.

    Dalam khutbah Jumaat, khatib mengingatkan untuk berwaspada dan berhati-hati, jangan sampai harta kekayaan dan kemewahan itu membutakan mata, merosakkan hati dan meracuni akal fikiran hanya untuk mendapatkan hasil rezeki dari jalan yang tidak halal atau syubhah.

    Sesungguhnya setiap harta yang diperolehi dari jalan yang salah atau syubhah dan bercampur antara yang halal atau yang haram, pasti akan memberi kesan yang tidak baik, pada diri sendiri atau keluarga mahupun kepada masyarakat dan negara.

    Khatib seterusnya menjelaskan, bersifat tamak dan rakus dalam mengumpul harta kekayaan dan kemewahan tidak pernah menjanjikan kebahagiaan dalam kehidupan.

    “Ini kerana, mereka yang hidup dengan cara sederhana dan serba kekurangan masih dapat hidup dengan tenang, bahagia, selalu berasa cukup kerana mereka sentiasa bersyukur,” jelasnya.

    Dalam perkara ini, sebagai orang Islam diwajibkan untuk mencari rezeki yang halal lagi baik melalui usaha atau cara yang betul dan bukan cara yang keji seperti berbohong, menipu dan bersifat tamak.

    “Rezeki telah ditetapkan dan ditentukan oleh Allah sejak dari azali lagi dan hanya Allah yang berhak memberi rezeki kepada seseorang yang kehendaki,” tambahnya.

    Khatib turut menjelaskan antara penyebab seorang itu menjadi tamak, termasuk terlalu cintakan dunia iaitu cinta yang berlebih-lebihan terhadap segala nikmat, tidak memiliki kehidupan di hari akhirat, tidak pernah berasa puas apa yang telah dicapai dan dimiliki.

    Selain itu, kurang memahami dan menghayati kehidupan bermasyarakat yang sebenarnya iaitu memiliki sifat ihsan, saling tolong menolong dan bantu membantu antara satu dengan yang lain.

    Tambah khatib, antara kesan sifat tamak, timbulnya kekerasan pada hati apabila seorang itu melakukan dosa yang tidak pernah rasa bersalah malah suka bercakap bohong dan dusta serta tidak boleh menerima sebarang teguran atau nasihat daripada orang lain.

    Sifat tamak boleh dihapuskan dengan sifat qanaah iaitu berasa cukup dengan segala yang ada.

    “Bagaimana caranya untuk sentiasa berasa cukup dengan apa yang dimiliki? Dengan sentiasa bersyukur dan mengamalkan kesederhanaan dalam semua hal, bagi dalam kehidupan, pergaulan, perbelanjaan dan sebagainya serta meyakini segala rezeki itu ditentukan dan ditetapkan oleh Allah.

    “Contohilah kehidupan para Anbiya dan rasul yang telah diutus oleh Allah untuk menjadi contoh dan teladan yang baik bagi seluruh manusia di samping memahami bahaya sifat tamak dalam mengumpul harta seperti yang berlaku pada Qarun yang tidak pernah berasa cukup pada harta yang telah dimilikinya hingga sanggup melakukan penindasan dan kezaliman terhadap orang lain yang akhirnya ditenggelamkan bumi bersama hartanya,” tegas khatib.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda