Elaun khas, Bantuan diberi

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 APRIL – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam memperkenankan elaun khas bagi menghargai jasa dan bakti mereka yang berusaha menangani wabak COVID-19 di negara ini.

“Mereka sangatlah wajar untuk disangkuti dengan elaun khas sebanyak $400 sebulan khusus kepada para doktor, jururawat, paramedik, pemandu ambulans, sukarelawan, pembersih, penjaga keselamatan dan kesemua mereka yang bertugas dengan Kementerian Kesihatan khususnya di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Pusat Pengasingan Kebangsaan, Tutong dan pusat-pusat kuarantin yang dikhaskan oleh kerajaan Beta,” titah Baginda semasa titah perutusan khas berkenaan jangkitan wabak COVID-19, hari ini.

Baginda bertitah lagi, “Pemberian elaun khas ini akan bermula Mac 2020 dan akan dilanjutkan sehingga berakhir wabak COVID-19 di negara ini.”

“Golongan yang terjejas pendapatan akibat COVID-19 daripada kalangan penamu, penjual di pasar, pemandu teksi dan pemandu motor tambang turut dibantu, di mana bantuan ini akan diuruskan oleh Majlis Ugama Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama,” titah Baginda.

Dalam situasi sekarang, Baginda turut memahami banyak peniaga termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) atau mereka yang berniaga sendiri turut terkesan oleh COVID-19 ini.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan mengurniakan titah. – Gambar oleh Infofoto

Dalam perkara ini, kerajaan Baginda melalui Kementerian Kewangan dan Ekonomi dengan kerjasama institusi yang berkaitan termasuk Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) telah memperkenalkan beberapa pakej Stimulus Economic untuk membantu mereka yang terjejas agar supaya meneruskan perniagaan masing-masing.

Ini adalah bagi tujuan kebajikan di mana Baginda telah menitahkan kementerian berkenaan untuk bekerjasama dalam membantu Sistem Kebajikan Negara (SKN) yang akan dilancarkan dalam bulan Julai nanti.

Baginda seterusnya bertitah berharap sistem ini nanti akan memudahkan pemohon untuk membuat permohonan kepada kerajaan.

“Dalam keadaan sekarang adalah elok juga rasanya kepada para pemilik premis sewa seperti kedai dan seumpamanya menimbangkan bagi meringankan beban penyewa yang terjejas perniagaan mereka dengan membebaskan atau mengurangkan kadar sewa untuk beberapa waktu sehingga wabak ini berakhir dan kalau ia dapat dilakukan, maka tidak syak lagi, ia adalah satu sedekah yang imbalannya adalah pahala,” titah Baginda lagi.

Dalam titah, Baginda turut menekankan supaya semua pihak memikul tanggungjawab termasuk tanggungjawab mematuhi arahan dan undang-undang.

“Baru-baru ini ada berlaku kejadian, di mana sekumpulan mengadakan pesta hiburan bertempat di sebuah hotel yang menjadi lokasi pengasingan diri. Mengapa ini boleh berlaku? Bagaimana orang-orang ini melihat COVID-19 dalam masa kita banyak berdoa tetapi mereka melanggar arahan dengan berkumpulan dan berpesta,” tegas Baginda.

Baginda bertitah berharap, pihak berwajib akan menangani kes ini dengan setegas-tegasnya dan menjadikannya sebagai pe-ngajaran untuk semua.

“Melalui kesempatan ini, Beta menganjurkan agar semua penduduk di negara ini untuk melazimkan diri dengan membaca Surah Yasin selain surah lain dalam Al-Quran kerana fadilat Surah Yasin sangat banyak untuk keselamatan di dunia dan akhirat serta dengan berkat Surah Yasin juga, COVID-19 akan berundur meninggalkan kita dan negara,” titah Baginda.

Sebagai sebuah komuniti, orang Brunei telah menunjukkan sikap pemedulian yang terpuji dengan menghulurkan sumba-ngan berupa apa saja untuk membantu Kementerian Kesihatan menangani wabak COVID-19.

Dalam hubungan ini, bagi kemudahan orang ramai menyalurkan sumbangan mereka, Baginda telah memperkenankan bagi mewujudkan satu dana yang diberi nama COVID-19 Relief Fund, di mana sumbangan tersebut akan digunakan untuk keperluan perubatan menangani wabak.

“Beta dengan tulus ikhlas merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih di atas sumbangan tenaga dan buah fikiran yang dihulurkan oleh semua pihak termasuk orang persendirian dalam membantu kerajaan menghadapi detik yang mencabar ini terutama kepada barisan hadapan termasuk sukarelawan (volunteer) yang telah bekerja siang dan malam untuk membantu merawat pesakit COVID-19 dan mereka yang menjalani kuarantin, sumbangan mereka ini amat Beta hargai.”

Baginda turut memahami betapa beratnya bebanan para petugas barisan hadapan, di mana menurut Baginda, jika orang lain merasa bosan duduk di rumah tetapi mereka sering melihat jam untuk pulang, di mana di rumah anak-anak sedang menunggu kepulangan mereka.

“Itu baharu dari segi emosi, belum risiko selaku petugas barisan hadapan, mereka ini cuma dibekalkan personal protective equipment (PPE) dan prosedur arahan standard (SOP) sebagai perisai di mana selainnya hanya doa saja yang mampu dirafakkan, titah Baginda.

Baginda juga tidak lupa merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Pasukan Polis Diraja Brunei, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pusat Bencana Kebangsaan, kru dan juruterbang RB, pihak pengurusan dari Syarikat-syarikat Brunei Shell Join Venture (BSJV), syarikat yang berkaitan dengan kerajaan (GLC), syarikat-syarikat pelaburan langsung asing (FDI), syarikat-syarikat telekomunikasi, syarikat swasta dan agensi kerajaan yang lain mengikut bidang dan kepakaran masing-masing, dalam sama-sama membantu kerajaan menangani cabaran pada masa ini.

“Jasa yang mereka curahkan kepada keluarga pesakit dan kepada negara khususnya tidaklah dapat digambarkan, Beta berdoa semoga Allah memberkati mereka dengan kebahagiaan di dunia dan di akhirat,” titah Baginda.

“Untuk akhirnya Beta mengajak supaya kita sama-sama berdoa Ya Allah, hanya Engkau juga tempat kami berlindung, maka lindungilah kami dari bahaya COVID-19, dari serangan dan jangkitannya. Jika wabak ini bersebab dari dosa-dosa manusia, maka Engkau ampunkanlah. Sesungguhnya hanya Engkau juga Yang Maha berhak untuk memberikan pengampunan.