KUALA LUMPUR, 18 SEPT – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan E Elavarasan secara rasminya melepaskan jawatannya sebagai ketua jurulatih skuad Bawah 23 tahun (B23) Malaysia.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata keputusan itu dicapai selepas perbincangan antara Elavarasan dan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin baru-baru ini, bagi membincangkan hala tuju pasukan B23 kebangsaan selepas aksi pusingan kelayakan Piala Asia B23 2024.
Noor Azman memaklumkan jurulatih berusia 61 tahun itu bersetuju untuk kembali fokus kepada tanggungjawab asalnya sebagai penolong ketua jurulatih kebangsaan bagi membantu Kim Pan Gon dalam skuad senior, sekali gus memberi ruang kepada individu lain untuk menggalas tugas selaku ketua jurulatih B23 kebangsaan ke Piala Asia B23 2024 di Qatar, April depan.
“Pengganti Elavarasan sebagai ketua jurulatih B23 kebangsaan bagi menghadapi Piala Asia B23 2024 di Qatar pada April depan hanya akan diumum selepas beberapa penelitian dan perbincangan dengan pihak terlibat serta kata putus yang akan dicapai nanti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Noor Azman, Hamidin turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas sumbangan Elavarasan yang tetap berjaya mengemudi pasukan layak ke Piala Asia B23 2024, biarpun tewas 0-1 kepada Thailand pada aksi terakhir kelayakan, 12 September lepas. – Bernama
