PETALING JAYA, 1 SEPT – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan pelantikan pembantu ketua jurulatih pasukan negara E.Elavarasan sebagai ketua jurulatih skuad bawah-23 (B-23) Kebangsaan Malaysia yang baharu.
Elavarasan akan dibantu Juan Torres Garrido dari Sepanyol sebagai pembantu ketua jurulatih, jurulatih tempatan Kris Yong (jurulatih penjaga gol) dan dua jurulatih Korea Selatan iaitu Jihyeon Park (jurulatih kecergasan) dan Lee Jeyoon sebagai jurulatih analisa persembahan.
“Saya berbesar hati menerima tugas yang tidak mudah dilaksanakan ini, terima kasih kepada Presiden FAM yang percaya kepada keupayaan kami dan juga terima kasih kepada jurulatih Kim (ketua jurulatih negara Kim Pan Gon),” katanya pada sidang media di Wisma FAM hari ini.
Mengulas dua peranan yang digalasnya kini, anak kelahiran Selangor berusia 60 tahun itu berkata beliau bersedia untuk memberi yang terbaik dalam membantu Pan Gon mengumpul pemain terhebat ke dalam skuad senior dan pada masa sama menyediakan pemain muda berkualiti. – Bernama
