ELD: Jangan ada campur tangan asing

SINGAPURA, 18 JUN – Jabatan Pilihan Raya Singapura (ELD) mengingatkan calon Pilihan Raya Umum untuk memainkan peranan mereka agar mengurangkan risiko menjadi vektor atau mangsa campur tangan asing.

“Calon harus meningkatkan pemahaman mereka tentang ancaman dan berwaspada terhadap tingkah laku yang mencurigakan dan agenda tersembunyi, supaya kempen pilihan raya mereka bebas daripada campur tangan asing,” menurut jabatan itu dalam taklimat maya mengenai panduan awal kempen pilihan raya umum di sini hari ini.

Jabatan itu berkata hanya warganegara Singapura yang boleh mengambil bahagian dalam pilihan raya dan kempen.

Mana-mana rakyat Singapura yang mahu menjalankan sebarang aktiviti pilihan raya – sama ada dalam talian, offline atau kedua-duanya – mesti mempunyai kuasa bertulis yang ditandatangani oleh calon atau ejen pilihan raya beliau, ia berkata.

“Individu yang bukan warganegara Singapura adalah dilarang daripada mengambil bahagian dalam apa-apa aktiviti pilihan raya,” kata jabatan itu.

“Selain itu, pelajar sekolah rendah atau menengah, individu yang mempunyai perintah pengawasan di bawah Undang-undang Jenayah (Peruntukan Sementara) (Cap 67) dan bankrap yang belum dilepaskan adalah dilarang daripada mengambil bahagian.

“Ia tidak kira hubungan mereka dengan calon,” menurut jabatan itu.

Pada taklimat itu, jabatan berkenaan telah menggariskan set panduan berkempen awal yang disediakan untuk pilihan raya, memandangkan kemungkinan situasi COVID-19 berterusan sehingga April 2021, yang pada masa itu pilihan raya umum mesti diadakan.

Garis panduan itu berdasarkan rujukan Kementerian Kesihatan Singapura yang berkaitan dengan Fasa 2 pembukaan semula selepas pemutus rantaian diumumkan pada 15 Jun 2020. – Bernama

Seorang wanita memakai penutup mulut dan hidung melintasi butik fesyen di kawasan membeli-belah Orchard di Singapura, 18 Jun, ketika negara itu melanjutkan lagi pelonggaran sekatan, dengan kempen p’raya di tengah-tengah pandemik bakal diadakan.–AFP