KOTA BHARU – Kasut Sniika hanyalah sebuah jenama tempatan, namun peluang berkolaborasi bersama kumpulan muzik tempatan seperti Cromok dan OAG, komik Under 18 serta kartunis terkenal seperti Ujang dan Imuda sudah dapat memberi gambaran terhadap kualiti produk itu sehingga diberi kepercayaan oleh nama besar berkenaan.
Bagaimanapun, perjalanan Sniika yang membawa maksud ‘seni kasut’ jenama milik anak Kelantan bukan mudah, pemiliknya Muhammad Bakri Yusrizal, 30, pernah jatuh apabila perusahaan yang bermula pada 2017 dengan modal RM40,000 itu mengalami kerugian.
“Modal RM40,000 tapi jualan hanya sekitar RM3,000, malah dalam tempoh seminggu nak jual sepasang pun susah.
“Selepas itu, saya ambil keputusan untuk berhenti dahulu sebelum kembali semula pada 2019 dengan pembaharuan termasuk reka bentuk kasut lebih menarik yang menerapkan unsur-unsur seni budaya Melayu,” katanya ketika ditemui Bernama.
Bercerita lanjut, Muhammad Bakri berkata Sniika kini mempunyai lebih 10 reka bentuk yang mengangkat tema seni budaya Melayu.
“Idea saya ialah ingin campur aduk identiti Melayu dengan kasut, jadi elemen
peribahasa dimasukkan pada setiap reka bentuk kasut.
“Sebagai contoh, peribahasa ‘lalu penjahit, lalu kelindan’ yang membawa maksud apabila usaha yang pertama telah berhasil, maka usaha yang berikutnya pun akan tercapai juga, disulam pada bahagian atas lidah kasut,” katanya sambil menambah kasut yang dihasilkan menggunakan bahan seperti kulit, sued dan kanvas.
Menurut Muhammad Bakri, antara reka bentuk kasut Sniika yang pernah dihasilkan ialah edisi Wayang Kulit, Gasing, Kelasik dan Taji.
Selepas Sniika mula diterima ramai, Muhammad Bakri berkata dia memberanikan diri untuk menghasilkan kasut secara kolaborasi bersama selebriti tempatan.
“Antara kolaborasi terawal Sniika ialah bersama kartunis Ujang, kita keluarkan sebanyak 450 pasang yang dijual dengan harga RM229 dan kasut itu habis dijual dalam tempoh 30 minit,” katanya.
Pemuda berasal dari Kota Bharu itu berkata kejayaan kolaborasi bersama Ujang menyaksikan jenama Sniika semakin diberi kepercayaan untuk menjalin kerjasama dengan pihak-pihak yang didekati mereka.
“Susulan portfolio kolaborasi Sniika semakin baik, ada pihak yang tawarkan diri pula untuk bekerjasama dengan mereka,” katanya dan menambah pihaknya telah mengeluarkan sembilan reka bentuk kasut secara kolaborasi.
Mengakui tidak menyangka Sniika mampu berjaya, Muhammad Bakri berkata jenama tempatan sebenarnya mempunyai banyak potensi sekiranya proses pembuatan dan pemasaran dirancang dengan teliti.
“Awal dulu saya hanya bekerja berdua dengan seorang pekerja, sekarang sudah ada enam orang dalam pasukan Sniika, daripada jual sepasang kasut seminggu sekarang alhamdulillah boleh jual kira-kira 1,000 pasang sebulan, malah pernah cecah 2,000,” katanya. – Bernama