Jumaat, November 21, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Elfira Loy berhentikan pembantu rumah, urus semua sendiri

    Pelakon Elfira Loy mengakui pernah berasa rendah diri apabila membandingkan dirinya melakukan semua urusan rumah tangga sendiri dengan kehidupan wanita lain yang mempunyai pembantu rumah.

    Ujar Elfira atau nama sebenarnya Nurul Elfira Ahmad Sabri, 31, perasaan itu timbul apabila melihat orang lain mempunyai kelebihan dari segi bantuan urusan rumah tangga dan penjagaan anak namun pandangannya berubah selepas bergaul dengan lebih ramai golongan ibu, menurut laporan KOSMO! Online.

    “Dulu saya selalu rasa, ‘orang lain bolehlah, sebab ada pembantu atau pemandu.’ Tapi bila saya banyak bergaul dengan para ibu, rupanya ramai sangat wanita yang boleh urus semuanya sendiri.

    “Mereka dah anggap itu rutin harian. Dari situ saya sedar, saya pun mampu buat perkara sama tanpa perlu bersedih atau mempersoalkan kenapa saya kena buat semua,” katanya dalam Threads.

    Tambah bintang Damping Malam itu, pengalaman tersebut membuatkan dirinya lebih kuat dan positif dalam menjalani tanggungjawab sebagai isteri dan ibu.

    “Sejak itu saya berhenti mencari pembantu rumah. Saya buat semua sendiri daripada bangun pagi, mandikan anak, siapkan mereka ke sekolah, masak, kemas rumah, hantar dan ambil mereka balik sekolah, sampai lipat baju pun saya buat.

    “Tapi dalam masa sama, saya masih boleh pergi main pickleball, keluar café hunting dan bekerja seperti biasa,” kongsinya.

    Paling penting kata ibu dua anak itu, apa yang dilaluinya bukan perkara luar biasa kerana ramai wanita lain juga mampu melakukannya jika pandai mengurus masa dengan bijak.

    “Dalam kelompok kawan-kawan saya pun, semua ini perkara biasa. Bukan unik pun. Bezanya, mereka pandai menyusun jadual dan mencari cara untuk mudahkan urusan. Dari situ saya belajar untuk urus hidup dengan lebih teratur,” luahnya.

    Rata-rata warganet memuji semangat dan kecekalan Elfira yang dianggap contoh wanita moden berdikari.

    Untuk rekod, Elfira mendirikan rumah tangga dengan Faris Khairul Anuar pada 2019. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad Rayyan Khalaf, 6, dan Nur Aria Mikayla, 4 tahun. – Agensi

    Elfira kini uruskan semua sendiri tanpa pembantu rumah. – Kosmo! Online
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda