Pelakon Elfira Loy kecewa dengan penyebaran video memaparkan jenazah jemaah haji yang meninggal dunia dibiarkan bergelimpangan di tepi jalan di Arab Saudi di media sosial.
Elfira atau Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, 30, berkata penyebaran video berkenaan bukan sahaja mengundang fitnah, sebaliknya memberikan persepsi negatif masyarakat kerana ia tidak menggambarkan keadaan secara keseluruhan.
“Tak sangka tular video para syuhadah yang meninggal dunia ketika melakukan haji. Tak baik betul orang yang muat naik video yang tak dikaburkan.
“Video itu boleh mengundang fitnah dan juga menimbulkan perasaan negatif kepada para jemaah akan datang (musim haji seterusnya),” katanya.
Elfira yang juga salah seorang jemaah haji tahun ini, meluahkan perkara itu menerusi hantaran di Instagram miliknya pada Khamis.
Dalam pada itu, Elfira berkata dia menjadi saksi kesungguhan petugas perubatan Arab Saudi merawat dan membantu jemaah haji di Tanah Suci Mekah.
Malah kata Elfira, makanan juga diberikan sama rata kepada semua tetamu Allah termasuk mereka yang tidak mendaftar visa haji.
“Saya menyaksikan secara langsung dedikasi pasukan perubatan berusaha memberi bantuan, bunyi ambulans jadi bukti kerja keras mereka beri rawatan segera kepada jemaah haji.
“Trak makanan penuh di sana mengedarkan makanan secara adil kepada semua jemaah, termasuk yang tidak mendaftar untuk haji,” jelasnya. – Agensi
