DUBAI, 26 Feb – Elina Svitolina menewaskan Caroline Wozniacki 6-4, 6-2 untuk memenangi perlawanan akhir di Kejohanan Tenis Dubai, sekali gus menembusi 10 ranking teratas dunia.
Jaguh tenis Ukraine itu memecahkan 10 kedudukan pemain elit dengan menewaskan juara 2011, Wozniacki, bekas pemain nombor satu dunia tujuh tahun lalu.
Pemenang meraih trofi keenam dalam kerjayanya dan kedua dalam bulan ini selepas menjuarai Terbuka Taipei.
“Ia sangat, sangat istimewa untuk saya, saya telah bermain tenis dengan hebat minggu ini,” kata Svitolina.
“Ini adalah kejuaraan pertama saya dalam kejohanan yang begitu besar.
“Ia memang sukar menentang Caroline, dia memberikan saingan yang sengit. Saya sangat bangga dengan cara saya bermain hari ini.”
Pemenang itu juga teruja menembusi kedudukan teratas ranking dunia.
“Ia satu perasaan yang sangat menakjubkan, untuk memasuki 10 kedudukan teratas dunia dengan memenangi kejohanan hebat seperti ini. saya sangat teruja dalam musim ini.”
Kemenangan Svitolina dalam perlawanan itu tertangguh selama dua jam disebabkan hujan lebat.
Pemain dari Ukraine itu menghabiskan 54 minit bagi menamatkan set pertama. Svitolina mendapat pendahuluan 3-2 di set kedua, kemudian menjadikannya 5-2 sebelum menamatkan perlawanan dengan pukulan ‘forehand’.
Wozniacki bermain bagi perlawanan akhir keduanya dalam masa beberapa minggu selepas menjadi naib juara di Doha apabila tewas kepada Karolina Pliskova. – AFP