Anggota asal kumpulan Elite membuat kejutan apabila kembali bergabung sempena ulang tahun ke-25 penubuhan mereka.
Umpama hadiah untuk peminat yang merindui kehadiran mereka, Elite dianggotai Linda, Azza, Abby, Shasha dan Watie tampil dengan single terbaharu berjudul Alhamdulillah.
“Sebelum ini, memang ada ura-ura untuk menggabungkan kami, tetapi banyak kali tertunda. Lagipun, kami mahu semua anggota asal Elite ada bersama. Ini adalah gabungan pertama selepas 20 tahun.
“Usaha ini digerakkan oleh Linda yang kebetulan berjumpa dengan Datuk Norman Abdul Halim. Saya bersyukur semua urusan berjalan lancar dan dipermudahkan,” kata Azza kepada media.
Kumpulan Elite ditemui ketika sidang media yang diadakan di KRU HQ, Skypark@Cyberjaya, baru-baru ini. Apa yang menarik, single ciptaan Noura dan Rayyan Rayhan itu menyaksikan kumpulan yang popular dengan lagu Trauma dan Tamparan Wanita itu membawakan lagu bercorak kerohanian.
Mengulasnya, Linda berkata, mereka bersetuju menyanyikan lagu bergenre Islamik kerana ia bersesuaian dengan penampilan dan mahu memberi hiburan yang meninggalkan mesej kepada peminat.
“Kami bersetuju untuk muncul dengan single bergenre Islamik dan mempunyai mesej yang baik dalam lagu.
“Ia juga bersesuaian dengan ketibaan Ramadan tidak lama lagi. Kami berharap dapat menyebarkan perkara positif kepada peminat yang sudah lama menantikan kemunculan semula Elite,” ujarnya.
Biarpun muncul dengan lagu ketuhanan, namun ia tidak bermakna mereka meninggalkan konsep yang menjadi tanda dagang Elite.
“Identiti setiap lagu Elite adalah rap, jadi dalam single Alhamdulillah ini kami perlu menyanyi rap.
“Tidak dapat dinafikan, keadaan agak mencabar apabila sudah lama tidak menyanyi dan merakamkan lagu. Tetapi, kami tidak mengambil masa yang lama untuk merakamkan single ini. Saya harap peminat dapat menerima single Alhamdulillah,” kata Watie.
Single Alhamdulillah diterbitkan Imaan Music iaitu label Islamik di bawah KRU Music dan bakal dilancarkan di semua pelantar digital pada 19 April depan. – Agensi
