Konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota Edisi Utara di Spice Arena, Bayan Lepas, di sini, malam tadi berjaya mengumpulkan lebih RM30,000 untuk disalurkan kepada Tabung Cinta Gaza Malaysia bagi membantu rakyat Palestin yang sedang bertarung nyawa menentang kekejaman tentera Israel.
Mengulas usaha murni itu, Ella atau nama sebenarnya, Nor Zila Aminuddin meluahkan rasa syukur kerana dalam berhibur, dapat menyumbang sesuatu kepada warga Palestin sebagai tanda solidariti terhadap saudara seagama.
“Ella tahu semua sedar mengenai isu kon-flik di Gaza dan Palestin dibom.
“Kita cuma nak dapatkan bantuan secara fizikal bagi meringankan beban mereka.
“Ini adalah satu cara untuk hulurkan bantuan atau tunjukkan kasih sayang kepada mereka,” katanya pada sidang media selepas konsert itu berakhir.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Solutions, Rohit Rampal.
Melalui konsert berdurasi tiga jam itu, penyanyi yang mendapat jolokan Ratu Rock ini mendedikasikan segmen khas untuk konflik yang mendapat perhatian dunia itu.
Selain menzahirkan kesedihan atas apa yang berlaku dan mengibarkan bendera Palestin sebagai pembuka tirai persembahan, penyanyi bersuara serak itu turut mendendangkan dua lagu berjudul Kasih dan Penawar, sambil visual mengenai kemusnahan berlaku di Tebing Gaza ditayangkan di layar gergasi disediakan.
Sebagai pelengkap, bacaan doa memohon agar rakyat Palestin terus dilindungi, diikuti laungan takbir disempurnakan suami Ella iaitu Azhar Ghazali.
Sementara itu, konsert anjuran Hitman Solutions dengan kerjasama RockQueen ini berjaya menghimpunkan seramai 14,000 penonton yang datang dari dalam dan luar negara. – Agensi