Ratu Rock, Ella menepis tanggapan nakal sesetengah pihak yang mendakwa insiden akaun Facebook (FB) miliknya digodam adalah gimik sempena Konsert Jelajah Jilid Akhir: Ella Puteri Kota yang bakal berlangsung di Pulau Pinang pada 28 Oktober depan.
Tegas pemilik nama lengkap Nor Zila Aminuddin ini, kejadian akaun digodam itu bukanlah perkara yang boleh dibuat main, memandangkan dua laporan polis berhubung kes itu sudah dibuat.
“Saya kesal dengan apa yang berlaku. Kejadian (akaun FB digodam) itu bukanlah sengaja saya rancang. Sama juga dengan tindakan padam foto dalam Instagram (IG).
“Apa yang terjadi pun bukan sesuatu yang saya rancang. Ia hanyalah cara saya untuk ucapkan terima kasih kepada peminat.
“Kami ada buat dua laporan polis berhubung kejadian ini. Boleh semak di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh kerana kami buat laporan sekitar jam 12 malam pada hari sama akaun FB digodam.
“Satu lagi lagi laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam. Kami juga sudah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan masih menunggu tindakan selanjutnya.
“Mereka sedang berusaha untuk mendapatkan semula akaun ini,” katanya kepada BH Online.
Mengulas tindakannya mencabar ‘penjenayah siber’ bersemuka seperti yang dinyatakan dalam program hiburan, Melodi dan kemungkinan tindakannya boleh mengundang risiko keselamatan, penyanyi Sembilu dan Sepi Sekuntum Mawar Merah itu berkata, dia memegang prinsip berani kerana benar.
“Saya berani mencabar individu terbabit datang bersemuka kerana buat salah. Akan ada pengawal keselamatan yang melindungi saya jika perkara ini berlaku.
“Bagi saya, perkara ini (godam media sosial) adalah penting untuk kita semua tangani,” tambahnya. – Agensi