Friday, January 3, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ella dedah guna alat bantuan pendengaran

    Ratu rock Malaysia, Ella mendedahkan beliau kini bergantung kepada alat bantuan pendengaran susulan fungsi kedua-dua belah telinganya sudah menurun.

    Memetik dari mStar, Ella atau Nor Zila Aminuddin, 57, berkata, hasil pemeriksaan sebelum ini mendapati pendengaran telinga kirinya berkurang kepada 70 peratus manakala sebelah kanan hanya tinggal 80 peratus daripada bacaan 200 peratus.

    Menurut Ella lagi, beliau sebelum ini tidak pernah menyedari mengalamai masalah pendengaran namun dengan bantuan Global Hearing Care Centre Malaysia (GHCC), deria itu kembali normal apabila menggunakan alat bantu dengar Bernafon Alpha.

    “Saya tidak pernah tahu ada masalah pendengaran namun setelah membuat pemeriksaan mendapati saya ada masalah tersebut.

    “Perbezaan selepas menggunakan alat bernafon alpha ini ia mampu seimbangkan pendengaran saya.

    “Ini disebabkan telinga sebelah kiri saya hanya 70 peratus manakala telinga kanan pula 80 peratus. Jadi alat ini dapat seimbangkan kedua-duanya,” katanya kepada mStar.

    Ella mendedahkan perkara itu ketika ditemui semasa hadir ke Program Komuniti Global Hearing Care Centre di Pavillion Bukit Jalil pada petang Sabtu.

    Dalam pada itu, Ella berkata, meskipun terpaksa menggunakan alat bantuan pendengaran namun beliau tidak pernah merasakan ia sebagai kekurangan pada diri.

    Sebaliknya Ella bersyukur kerana masalah itu dapat diatasi dengan alat berteknologi tinggi berkenaan.

    “Saya tidak rasa pun itu kekurangan sebab ia lagi membantu Ella. Ella percaya ramai ada masalah sama.

    “Ella rasa bersyukur sebab alat ini boleh bantu Ella mendengar dengan normal,” katanya.

    Sementara itu, Ella turut menyarankan rakan-rakan terutamanya yang terlibat dalam industri muzik untuk membuat pemeriksaan kesihatan deria pendengaran.

    “Saya mengalami masalah pendengaran disebabkan muzik, jadi saya pakai alat ini untuk melindungi daripada ia bertambah teruk.

    “Jadi saya sarankan rakan-rakan dalam industri muzik malah orang ramai untuk membuat pemeriksaan sebelum terlambat,” katanya.

    Untuk rekod, GHCC, Ella bersama Kementerian Pendidikan Malaysia bergabung menganjurkan program komuniti yang memfokuskan tentang kesihatan pendengaran serta pertuturan untuk pelbagai peringkat usia.

    Tujuan utama program itu diadakan untuk menanam kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang kepentingan penjagaan deria pendengaran.

    Selain itu, ia bagi memupuk sikap ambil peduli tentang tahap pendengaran mereka dengan lebih awal menerusi saringan awal. – Agensi

    Ratu Rock Malaysia, Ella menghiburkan peminatnya di Pavilion Bukit Jalil, Malaysia. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda