Konsert A Night to Remember: Rock Nostalgia yang menampilkan Ella, Exists dan Kugiran Masdo bakal berlangsung di Stadium Tertutup Arena Larkin pada 14 Disember ini.
Pengarah Tourism Johor, Shahril Nizam berkata penganjuran konsert kedua sempena Tahun Melawat Johor 2026 itu dijangka menarik kehadiran 4,000 peminat seni termasuk dari Indonesia, Singapura dan Brunei sekali gus membantu merancakkan sektor pelancongan Johor.
“Saya menyeru semua peminat rock supaya datang beramai-ramai menonton konsert ini, yang saya pasti generasi lama dan baharu amat menantikan persembahan ratu rock Ella di samping Exists serta Kugiran Masdo,” katanya pada sidang media mengenai konsert berkenaan di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), hari ini.
Sementara itu Ella berkata beliau bersedia untuk menggegarkan Arena Larkin setelah 10 tahun tidak beraksi di negeri itu, apatah lagi Johor merupakan negeri kelahiran suaminya, Kapten Azhar Ghazali.
“Walaupun gandingan bersama Kugiran Masdo dan Exists adalah kali kedua, namun elemen kelainan tetap akan dibawa dalam konsert berkenaan. Insya-Allah saya akan menyanyi dalam tempoh sejam, lebih kurang lapan atau 10 lagu tetapi kalau penonton bersemangat, saya akan ‘belanja’ lagi,” katanya. – Bernama