Penyanyi Kaka Azraff terharu apabila keluarga, rakan artis dan rakyat Malaysia menyuarakan sokongan terhadap prinsipnya untuk terus bersolidariti buat Palestin.
Kaka berkongsi, ibu saudaranya yang juga penyanyi Ella turut memberikan semangat terutama sebelum menjalankan sidang media khas menjelaskan isu berbangkit antaranya dan syarikat rakaman, Warner Music Malaysia, semalam.
Kaka atau nama sebenarnya, Noor Atiqa Noor Azraff berkata, antara pesanan Ella untuknya terus kuat dan tidak takut berhadapan dengan isu ini.
“Ella ada hantar voice note kepada saya sebelum sidang media.
Dia minta saya untuk stay strong, baca bismillah sebelum mulakan dan katakan Uteh with you maksudnya Ella bersama Kaka, jadi jangan takut dan risau.

“Saya berterima kasih kepada mereka yang banyak memberi sokongan.
Saya terima banyak mesej langsung (DM) dan komen, semuanya memberi kata semangat kepada saya.
“Saya sangat menghargai dan bersyukur ada mereka yang melihat perkara ini dari sudut sama seperti saya,” katanya kepada BH Online.
Semalam, Kaka memberikan penjelasan terhadap isu penamatan kontraknya di Warner Music Malaysia menerusi sidang media khas di Mutiara Damansara.
Sidang media khas itu diadakan bagi menjelaskan kedudukan kontrak antaranya dan Warner Music Malaysia.
Yang turut hadir adalah peguam mewakili Kaka iaitu Aidil Khalid dan Abi Mursyidin Awal dari Tetuan Amelda Fuad Abi dan Aidil dan suaminya, Adam Azriff.
Dalam sidang media itu, Kaka mengakui, dia adalah artis pertama di Warner Music Malaysia yang ditamatkan kontrak tanpa alasan dan perbincangan. – Agensi