Pelakon dan pengarah Malaysia, Ellie Suriaty, 54, sanggup mencarikan jodoh buat bekas suaminya yang juga pelakon, Azri Iskandar, 57, bagi mengelakkannya daripada menjalinkan hubungan yang toksik seperti sebelum ini.
Ellie berkata, dia juga memperkenalkan kawan baiknya sendiri iaitu ibu tunggal yang memiliki dua anak kepada Azri dan berharap hubungan mereka berjaya melangkah ke fasa perkahwinan nanti.
“Saya pilih kawan baik saya sendiri untuk diperkenalkan kepada Azri. Kawan baik saya itu berusia 45 tahun dan sudah bergelar ibu tunggal selama 20 tahun.
“Kawan saya itu bukan saja cantik tetapi hatinya juga baik dan pandai bergaul dengan orang.
“Bukan saja Azri, anak-anak juga menyukainya serta merestui hubungan mereka. Bagi saya, kawan baik saya itu memberi pengaruh yang positif untuk Azri dan kami juga sangat rapat,” katanya kepada Harian Metro.

Mengenai perancangan Azri untuk menamatkan zaman duda pula, kata Ellie, buat masa ini, mereka masih dalam proses mengenali hati budi lagi.
“Saya mahu Azri kenal lebih lama lagi dengannya sebab sebelum ini dia sudah lalui beberapa kegagalan dalam perhubungan serta berkawan dengan beberapa wanita yang tak sesuai.
“Kali ini biar Azri berkawan dengannya dulu dan kita bagi ruang buat mereka kenal lebih lama sikit. Semoga Allah SWT kurniakan jodoh buat mereka berdua nanti,” katanya.
Terdahulu, hasrat Azri untuk menamatkan zaman dudanya tidak kesampaian apabila hubungannya dengan usahawan dikenali sebagai Datuk Noora Kay berakhir dengan perpisahan.
Perkara itu disahkan sendiri oleh usahawan wanita terbabit yang memberitahu hubungan cinta mereka berakhir pada penghujung Mei tahun lalu.
Untuk rekod, Azri dan Ellie bercerai talak satu pada 17 Mei 2022 selepas 19 tahun hidup bersama. – Agensi