Tuesday, March 4, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ellie Suriaty, Imran Bard setuju bersemuka selesai kemelut

    Pelakon Ellie Suriaty bersetuju untuk berjumpa dengan pempengaruh Imran Bard dalam masa terdekat bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku di antara mereka.

    Bagaimanapun Ellie atau Ellie Suriaty Omar, 54, berkata, ketika ini Imran masih berada di kampung halamannya di Kluang, Johor dan akan bertemu apabila dia pulang ke Kuala Lumpur.

    “Saya setuju dengan permintaan Imran untuk berjumpa namun sekarang dia masih berada di kampung.

    “Insya-Allah perjumpaan kami akan diadakan sekembalinya dia ke Kuala Lumpur nanti,” katanya.

    Ellie berkongsi perkara itu menerusi hantaran di Instastory miliknya pada petang kelmarin.

    Dalam pada itu, Ellie menegaskan pertemuan itu nanti bakal menjadi penentu sama ada dia akan meneruskan saman terhadap pempengaruh itu atau sebaliknya.

    Kata Ellie, semuanya bergantung kepada niat Imran apabila mereka bertentang mata dan berbincang mengenai isu yang timbul.

    “Ingin saya tegaskan sesi pertemuan ini akan menjadi penentu sama ada saya akan meneruskan proses saman atau sebaliknya.

    “Ia bergantung kepada keikhlasan dan ketulusan permohonan maaf Imran terhadap saya,” jelasnya.

    Pada 20 Februari lalu, Ellie mengadakan sidang media meluahkan rasa kurang senang dengan salah satu kandungan video dihasilkan Imran yang dianggap mencemarkan namanya.

    Justeru, Ellie menuntut ibu bapa Imran bertemu dengannya untuk memohon maaf atas kelakuan pempengaruh tersebut.

    Imran bagaimanapun menunjukkan sikap acuh tidak acuh ketika memohon maaf di dalam video TikTok miliknya selain memberitahu ibunya tidak dapat bertemu Ellie kerana sedang dirawat di hospital.

    Bagaimanapun menerusi laporan mStar yang lalu, Imran menyatakan dirinya menyesal dan sudah memohon maaf kepada Ellie secara peribadi di Instagram. – Agensi

    Ellie (kiri) sedia berjumpa Imran selesaikan kemelut masalah mereka. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda