Thursday, January 23, 2025
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Elliza Razak syukur derita 12 tahun berakhir

    Selama 12 tahun bertahan dalam perkahwinan, penyanyi dan pelakon Elliza Razak meluahkan rasa syukur apabila diberi kekuatan untuk berjaya keluar daripada hubungan yang banyak menghancurkan hidupnya.

    Sah bercerai pada Februari lalu, Elliza, 40, juga mendedahkan dia pernah menjadi mangsa keganasan rumah tangga dengan bekas suaminya itu.

    Menurut mStar, Elliza mendedahkan dia juga turut mengambil peranan dalam menguruskan perbelanjaan keluarga sepanjang bergelar isteri kepada Khairul Adzwan Nasir itu.

    “Jujur saya katakan selama 12 tahun bertahan (dalam rumah tangga), saya rasa lega sangat selepas bercerai. Saya sudah penat. Selama ini saya juga yang menanggung ekonomi keluarga.

    “Iya, saya menjadi mangsa keganasan rumah tangga. Sebab itu juga saya nekad untuk failkan cerai kerana sudah tak tahan.

    Anak-anak menjadi kekuatan Elliza. – mStar

    “Punca saya mula melakukan proses permohonan cerai apabila dia ugut tidak benarkan saya berjumpa anak-anak,” katanya yang bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, Subang Bestari.

    Elliza ditemui wartawan semasa majlis sambutan Ulang Tahun ke-17 stesen radio Suria FM yang berlangsung di Menara Star, Petaling Jaya pada Jumaat.

    Dalam pada itu Elliza turut menunjukkan kepada pihak media gambar kesan lebam pada wajahnya dipercayai akibat dipukul dalam kejadian yang berlaku pada tahun 2015.

    Biarpun begitu, bekas peserta Akademi Fantasia musim ketiga ke-3 (AF3) akui dia tidak membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.

    “Mungkin sebelum ini saya bodoh kerana tidak buat laporan polis. Saya tak mahu dia ditahan. Saya juga fikirkan tentang anak-anak.

    “Tetapi selepas bercerai saya ada buat cover report supaya dia tidak boleh mengganggu saya dan anak-anak.

    “Dalam tempoh idah pun dia pukul saya dan ketika itu anak kami nampak apa yang berlaku,” ceritanya.

    Tambahnya, apa yang terjadi juga memberi kesan kepada dua anaknya kerana mereka sebelum ini menjadi saksi dia menjadi mangsa keganasan rumah tangga. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda