Pengacara Elly Mazlein masih memegang prinsip untuk tidak mendedahkan wajah anak-anak di media sosial demi menjaga privasi mereka.
Elly atau Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 45, berkata, tindakan itu dibuat bagi memberi kebebasan kepada Sefhia dan Haider Matten menjalani kehidupan sebagai kanak-kanak biasa.
“Biarlah anak-anak membesar seperti orang biasa sebab saya tidak mahu mereka menjadi tumpuan.
“Saya ingin mereka (anak-anak) merasa hidup bebas. Taknaklah rasa mak dia artis atau selebriti.
“Alhamdulillah sampai hari ini anak-anak saya sangat selesa dengan kehidupan mereka,” katanya kepada mStar.
Elly berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media Big Stage Alpha yang diadakan di Damansara kelmarin.
Ditanya mengenai rakan-rakan artis turut tidak mendedahkan wajah anak mereka di media sosial, Elly memberitahu masing-masing mempunyai hak berhak berbuat demikian.
Kata Elly, sekiranya tindakan itu mendatangkan kebaikan tidak salah jika tidak berkongsi kepada umum.
“Apabila ada artis-artis lain membuat keputusan sama, mungkin itu terbaik untuk mereka. Teruskan.
“Tapi apa-apa pun hak masing-masing, ada sahaja artis dan orang biasa kongsikan anak mereka di media sosial.
“Namun bagi saya, saya gembira dengan keputusan yang dibuat untuk anak-anak,” ujarnya.
Elly bagaimanapun meluahkan rasa syukur kerana setiap kali membawa anak-anak keluar dari rumah, peminat menghormati caranya dan tidak mendedahkan wajah Sephia dan Haider di media sosial.
“Peminat menghormati, mereka memang tahu kalau saya muat naik foto anak-anak wajah akan ditutup dengan emoji.
“Jadi kalau mereka mahu memuat naik foto bersama saya, mereka akan blur wajah anak-anak saya,” katanya.
Untuk rekod, Elly mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Azlan Che Nuh pada Januari 2020 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Haider, 4 tahun.
Sebelum itu, Elly pernah berkahwin dengan pengarah Azmi Hatta pada November 2014 namun berpisah pada Oktober 2015. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Putri Sara Sefhia, 8 tahun. – Agensi
