Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Elly Mazlein pemurah walau perangai ‘gila-gila’

    Di sebalik perwatakan gila-gila dan ceria yang dipamerkan, rupa-rupanya pelakon dan penyampai radio Elly Mazlein juga terkenal dengan sikap pemurah.

    Memetik laporan mStar, seorang kru produksi dikenali sebagai Rashid berkongsi pengalaman bekerjasama di lokasi penggambaran drama Kampung People, mendedahkan pelakon berkenaan tidak lokek berbelanja besar demi menyediakan juadah buat rakan sekerja.

    Antara kenangan yang diingati Rashid termasuklah ketika Elly yang mesra disapa Kak Lina membeli sate tulang dalam kuantiti banyak untuk dijamu kepada semua kru terlibat.

    “Artis yang suka belanja makan adalah Kak Lina Pom Pom (Elly). Ketika penggambaran Kampung People 2, dia belanja sate tulang. Harga juadah itu pastinya mahal.

    “Dia belanja satu set team produksi. Anggaran ketika itu berpuluh orang juga. Semuanya dia belanja,” katanya.

    Rashid berkongsi perkara tersebut dalam temu bual bersama Lepak Space Podcast yang dikendalikan oleh Syafiq Ikhwan.

    Tambah Rashid kebiasaannya Elly akan membeli makanan kesukaannya supaya beliau boleh menikmati bersama rakan-rakan.

    Malah pelakon itu juga beberapa kali melakukan perkara sama sepanjang mereka bekerja bersama.

    “Kalau penggambaran satu drama itu makan masa 30 hari, mungkin ada lima atau enam kali dia akan belanja. Sebab itu rezeki dia murah.

    “Selalunya dia akan belanja makanan yang dia sendiri teringin nak makan. Dia akan minta belikan untuk semua orang. Itulah yang baiknya tentang Kak Lina,” ujarnya.

    Menurutnya lagi Elly juga seorang yang cukup profesional dan mudah mendalami watak tanpa perlu tunjuk ajar daripada pengarah.

    “Dia sangat bagus, seorang artis yang tak perlu nak tunjuk ajar. Apa yang pengarah mahukan, dia akan beri,” kongsinya.

    Menerusi Kampung People yang menjadi fenomena, ia turut menampilkan barisan pelakon seperti Rashidi Ishak, Riena Diana dan Hun Haqeem. – Agensi

    Kru produksi berkongsi sikap pemurah Elly yang ramai tidak ketahui. – mStar
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...