Pelbagai persepsi timbul selepas pengacara dan penyanyi Elly Mazlein bangkit bersuara mempertahankan diri sehingga ada yang menganggap ia berlebihan dan sengaja mahu mencari perhatian.
Bagi Elly atau Sharifah Aida Mazlina Syed Hana, 44, setiap individu ada pandangan tersendiri dan dia enggan ambil pusing jika ada kurang senang dengan kenyataannya sebelum ini.
“Ikut suka kalau ada yang anggap begitu. Yang penting saya gembira. Saya mahu sentiasa terus berkasih sayang,” katanya kepada mStar.
Elly yang juga mesra disapa Kak Lina ditemui ketika acara penutup program Duo Kepom Era yang berlangsung di Kuala Lumpur, semalam.
Penyanyi itu sebelum ini menerusi beberapa perkongsian di Instastory miliknya meluahkan perasaan apabila ada pihak cuba mengusik serta merendah-rendahkan dirinya.
Memilih tidak lagi mahu mengulas tentang perkara itu, Elly menegaskan akan terus bersuara sekiranya ada individu lain tampil bercakap tentang dirinya.
“Jangan main-main dengan saya. Samalah seperti yang saya cakap di Instagram sebelum ini.
“Sebenarnya saya tak mahu ulas lagi. Apa yang mahu diperkatakan saya dah ulas di IG. Boleh tengok di highlight, masih ada di situ.
“Kalau boleh saya mahu jaga hati semua orang walaupun ada yang lukakan hati saya,” ujarnya.
Dalam masa sama Elly juga tidak mahu isu peribadi sebegitu menjejaskan kerjayanya. – Agensi