Penyanyi dan pengacara, Elly Mazlein, mengumumkan penamatan perkhidmatanmnya sebagai penyampai radio di stesen Era FM.
Secara ringkas Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 45, memaklumkan perkara berkenaan.
“Macam tak jadi (showcase), saya undur diri dari Era FM. Insya-Allah, kita tunggu rezeki apa yang Allah nak bagi,” katanya ringkas.
Elly berkongsi perkara tersebut ketika menjawab pertanyaan seorang pengikut di ruangan komen Instagram miliknya pada malam Isnin, yang bertanya mengenai perancangan mengadakan showcase solo.
Bagaimanapun, Elly tidak mendedahkan tarikh sebenar dia menamatkan tugasnya di stesen radio berkenaan. Kenyataan tersebut bagai menjawab khabar angin dia bakal undur diri.
Sebelum ini, timbul desas-desus mengatakan Elly bakal meninggalkan Era FM selepas hampir dua tahun mengendalikan segmen Carta Era 40.
Sepanjang dua tahun berkhidmat di Era FM, Elly berjaya mewarnai dunia penyiaran dengan gaya penyampaian bersahaja dan penuh humor, sekali gus menjadikannya antara penyampai yang paling disenangi pendengar.
Selain aktif di konti, Elly juga dikenali kerana sikap prihatin terhadap masyarakat, apabila kerap turun padang menyantuni golongan kurang bernasib baik sepanjang berkhidmat di stesen radio tersebut. – Agensi


