SAN FRANCISCO, 10 NOV – Tidak lama selepas pelancaran baharu, Twitter hampir serta-merta menghapuskan label rasmi kelabu untuk beberapa akaun berprofil tinggi tatkala Elon Musk bergelut melakukan rombakan selepas membeli platform itu dengan nilai AS$44 bilion.
Platform media sosial itu melancarkan perkhidmatan langganan Twitter Blue, yang membenarkan pengguna membayar AS$7.99 sebulan untuk ‘tanda semak biru’ serta lencana ‘rasmi’ kelabu ber-asingan untuk beberapa akaun terkenal.
“Saya baru menghapuskannya,” umum Musk menerusi ciapan Twitter hanya selepas beberapa jam label baharu itu ditambah kepada akaun kerajaan serta syarikat besar dan saluran media utama.
Beliau juga berkata pengguna diminta mengambil perhatian bahawa Twitter akan melakukan banyak perubahan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Tanda label biru menjadi tanda ketulenan akaun dan timbul keraguan bahawa tokoh awam atau saluran media akan membayarnya, manakala tanda label kelabu rasmi dilihat oleh pemerhati sebagai penyelesaian untuk mengatasi masalah itu.
Pelancaran label rasmi baharu itu bermula semalam dan terdapat pada akaun syarikat seperti Apple atau BMW serta syarikat awam seperti Rumah Putih dan saluran media utama.
Namun, hanya beberapa jam kemudian, ia ‘dihapuskan’ bagi kebanyakan akaun terbabit.
Seorang eksekutif, Esther Crawford yang mengumumkan idea ‘semak kelabu’ Selasa lalu, telah menegaskan label rasmi masih akan menjadi sebahagian daripada pelancaran semula, tetapi pihaknya hanya menumpukan pada entiti kerajaan dan komersial sebagai permulaan. – AFP