Wednesday, April 2, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Elon Musk jual X kepada xAI

    SAN FRANCISCO, 30 MAC – Elon Musk telah menjual laman media sosial X kepada syarikat kecerdasan buatan miliknya, xAI, dalam satu perjanjian pertukaran saham bernilai AS$33 bilion, menurut pengumuman bilionair itu pada Jumaat.

    Kedua-dua syarikat tersebut adalah milik persendirian, yang bermaksud mereka tidak diwajibkan untuk mendedahkan kewangan mereka kepada umum.

    Musk berkata dalam satu hantaran di X bahawa langkah tersebut akan “membuka potensi besar dengan menggabungkan keupayaan AI canggih xAI dengan jangkauan luas X.”

    Dia menyatakan bahawa perjanjian tersebut menilai xAI pada AS$80 bilion dan X pada AS$33 bilion.

    Musk, yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Tesla dan SpaceX serta penasihat kepada Presiden Donald Trump, membeli platform yang ketika itu dikenali sebagai Twitter pada harga AS$44 bilion pada tahun 2022, sebelum mengurangkan tenaga kerjanya secara drastik serta mengubah dasar mengenai ujaran kebencian, maklumat salah dan pengesahan pengguna, serta menamakan semula platform itu sebagai X.

    Pekerja memasang pencahayaan pada papan tanda ‘X’ di atas ibu pejabat syarikat, yang sebelum ini dikenali sebagai Twitter, di pusat bandar San Francisco, 28 Julai 2023. – AP

    Beliau melancarkan xAI setahun kemudian.

    “xAI dan masa depan X saling berkaitan. Hari ini, kami secara rasmi mengambil langkah untuk menggabungkan data, model, pengkomputeran, pengedaran dan bakat. Gabungan ini akan membuka potensi besar dengan menggabungkan keupayaan AI canggih xAI dengan jangkauan luas X,” tulis Musk di X.

    “Syarikat gabungan ini akan memberikan pengalaman yang lebih bijak dan bermakna kepada berbilion orang sambil kekal setia kepada misi utama kami untuk mencari kebenaran dan memajukan pengetahuan.”

    Tidak jelas sama ada langkah itu akan membawa perubahan kepada pengguna X, kerana xAI sudahpun menggunakan data daripada hantaran pengguna X untuk melatih model kecerdasan buatannya.

    Pengguna X yang membayar langganan mempunyai akses kepada chatbot AI syarikat itu, Grok, manakala pengguna percuma boleh bertanya sehingga 10 soalan setiap dua jam. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda