WASHINGTON, 28 OKT – Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk mungkin meninggalkan syarikat itu jika pemegang saham tidak meluluskan pakej gajinya yang bernilai hampir AS$1 trilion menjelang tarikh akhir 5 November, Pengerusi Lembaga, Robyn Denholm memberi amaran dalam sepucuk surat.
“Jika kita gagal memupuk persekitaran yang mendorong Elon mencapai perkara hebat melalui pelan gaji untuk prestasi yang saksama, kita berdepan risiko beliau melepaskan jawatan eksekutifnya dan Tesla mungkin kehilangan masa, bakat dan visinya, yang telah penting dalam memberikan pulangan yang luar biasa kepada pemegang saham,” demikian menurut surat itu kelmarin.
Denholm juga menyatakan dalam surat itu yang tanpa Musk, Tesla boleh kehilangan nilai yang besar, kerana syarikat itu tidak lagi akan dinilai berdasarkan potensi masa depannya.
“Walaupun mungkin tiada masalah untuk menjadi sekadar syarikat kereta yang lain, Lembaga Pengarah kami percaya yang Tesla boleh menjadi lebih daripada itu, pemegang saham kami berhak mendapat lebih banyak, dan Elon adalah pemimpin yang tepat untuk membantu kami mencapai potensi penuh kami,” kata Denholm.
Pada September, lembaga pengarah mencadangkan pemberian lebih 423 juta saham biasa Tesla kepada Musk, mewakili 12 peratus daripada jumlah keseluruhan saham, tertakluk kepada syarikat mencapai 12 pencapaian yang ditetapkan, termasuk modal pasaran berjumlah AS$8.5 trilion.
Ini bermakna untuk Musk menerima anugerah itu, nilai pasaran Tesla mesti meningkat sebanyak AS$7 trilion lagi, memandangkan penilaian semasa syarikat adalah kira-kira AS$1.42 trilion dan tidak lewat daripada 2035.
Jika syarikat mencapai semua pencapaian di bawah kepimpinan Musk, beliau berpotensi untuk meningkatkan pegangannya daripada kira-kira 13 peratus kepada kira-kira 25 peratus dalam pegangan saham firma pembuat kereta elektrik itu. – Bernama


