SAN FRANCISCO, 11 FEB – Elon Musk mengetuai sebuah kumpulan pelaburan yang menawarkan AS$97.4 bilion untuk menguasai organisasi bukan untung yang mengawal OpenAI, menandakan satu lagi kempen dalam persaingannya dengan pembuat ChatGPT, lapor Wall Street Journal kelmarin.
Peguam Musk, Marc Toberoff berkata beliau telah mengemukakan bidaan itu kepada lembaga pengarah OpenAI, menurut laporan itu.
“Tidak, tetapi kami akan membeli Twitter dengan harga AS$9.74 bilion jika awda mahu,” tulis Ketua OpenAI, Sam Altman, dalam satu pos di X, yang jelas memberi respons terhadap tawaran itu.
Musk, yang membeli X pada 2022 dengan harga AS$44 bilion, membalas hantaran tersebut dengan menulis, ‘penipu’.
Peguam Musk tidak memberi maklum balas dengan segera terhadap permintaan untuk ulasan.
Bos Tesla dan sekutu rapat Presiden AS, Donald Trump, telah terlibat dalam perselisiham berpanjangan dengan Altman, dengan Musk mengemukakan beberapa saman terhadap OpenAI yang berpangkalan di San Francisco.
Musk adalah pengasas bersama OpenAI pada 2015 dan syarikat itu telah menjadi pemimpin dunia dalam bidang AI sejak beliau meninggalkannya pada 2018. Musk melancarkan syarikat AI generatifnya sendiri, xAI pada 2023.
“Kami mencipta struktur sesuai iaitu sebuah entiti untuk keuntungan, dikawal oleh organisasi bukan untung, dengan perkongsian keuntungan terhad untuk pelabur dan pekerja,” kata OpenAI dalam satu hantaran blog pada Disember yang menggariskan rancangan untuk menjadi Perbadanan Manfaat Awam Delaware.
Perubahan itu memerlukan syarikat itu menyeimbangkan kepentingan pemegang saham, pihak berkepentingan dan orang ramai, mengubah hala tuju dari status bukan keuntungan, menurut hantaran itu. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/P10-3C-WEB-AP_12022025.jpg)