Monday, February 10, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Elon Musk tiada rancangan ambil alih operasi TikTok AS

    WASHINGTON, 9 FEB – Elon Musk, orang terkaya di dunia dan penasihat utama Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menyatakan beliau tidak berminat untuk mengambil alih operasi platform media sosial TikTok di AS.

    “Saya tidak membuat tawaran untuk TikTok dan tidak ada rancangan apa yang akan saya lakukan jika memiliki TikTok,” katanya dalam komen yang dibuat melalui pautan video di forum Jerman pada akhir Januari yang dikeluarkan pada hujung minggu.

    TikTok sebelum ini menghadapi undang-undang AS yang mengarahkan syarikat itu dipisahkan daripada pemiliknya dari China, ByteDance atau diharamkan di AS atas kebimbangan keselamatan negara berhubung data yang dikumpulnya pada pengguna.

    Tidak lama selepas itu, Trump berkata ia terbuka kepada cadangan Musk, pemilik platform media sosial X, Tesla dan banyak syarikat lain untuk membeli platform itu.

    Musk bagaimanapun berkata dia tidak mahu memperoleh syarikat itu.

    “Saya tidak menggunakan TikTok secara peribadi, jadi, awda tahu, saya tidak begitu biasa dengannya,” katanya.

    Musk sebelum ini membeli gergasi media sosial Twitter, yang dinamakannya semula dengan X, dengan harga AS$44 bilion pada 2022, menegaskan dia berbuat demikian untuk menjaga ‘kebebasan bersuara’.

    Sejak pengambilalihannya, pejuang hak asasi memberi amaran bahawa terdapat peningkatan dalam ucapan kebencian dan maklumat salah di platform X.

    Musk adalah penyokong kewangan utama Trump dalam kempen Presidennya, dan mengetuai inisiatif pengurangan bajet Presiden AS. – AFP

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda