WASHINGTON, 26 Dis – Pemenang empat gelaran utama, Ernie Els (gambar) memperoleh jemputan istimewa untuk beraksi di kejohanan golf Masters, tahun depan, menurut beberapa laporan disiarkan, semalam.
Golfweek, Golf Digest dan Golf Magazine melaporkan pengurusan Els mengesahkan bintang berusia 48 tahun dari Afrika Selatan itu diberi tiket istimewa untuk beraksi di kejohanan utama golf itu pada April tahun depan di Kelab Golf Augusta National.
“Terima kasih atas hadiah Krismas yang hebat! Tidak sabar@TheMasters!” tulis Els dalam laman sosial, Ahad lalu tanpa penjelasan lanjut.
Jemputan istimewa berkenaan adalah yang pertama dikeluarkan oleh Masters sejak pemain Jepun, Ryo Ishikawa menerimanya pada 2013.
Els beraksipada kejohanan Masters yang disangkakan terakhir buatnya pada April lalu, penampilan terakhirnya di Augusta National selepas lima tahun sejak memenangi Terbuka British pada 2012.
Penampilan bagi 2018 adalah yang ke-24 buat Els di Masters yang juga kejohanan utama ke-100 sepanjang kariernya sejak Ogos lalu di Kejuaraan PGA.
Els memenangi Terbuka Amerika Syarikat pada 1994 dan 1997 dan Terbuka British pada 2002 dan 2012.
Penamat terbaiknya di Masters adalah sebagai naib juara pada 2000 dan 2004 selain enam kali menamatkan saingan berkenaan di tangga 10 terbaik.
Begitupun bagi edisi 2017, beliau mengakhiri saingan di tangga ke-53. – AFP