Penyanyi Elyana mendedahkan mengalami beberapa kesan sampingan terhadap dirinya seperti masalah penglihatan setelah menjalani rawatan kemoterapi sejak 12 tahun lalu.
Erneelya Elyana Emrizal atau lebih dikenali sebagai Elyana, 35, berkata pesakit kanser pada lazimnya akan mengalami kesan sampingan, apatah lagi jika sudah terlalu lama menjalani rawatan selain pengambilan ubat-ubatan.
“Siapa kata senang jadi saya? Hari ini telinga saya pula tak dengar sebelah. Jadi mahu ke hospital lagi. Awak nak jadi saya? Kita tukar sekarang.
“Untuk pengetahuan awda, mata tak berapa jelas, pendengaran rosak, memori hilang, sakit saraf, sendi dan macam-macam lagi. Itu adalah perkara normal untuk mereka yang terlalu lama menahan sakit dengan kemoterapi atau radioterapi serta ubat-ubatan,” katanya.
Penyanyi lagu Kalis Rindu itu berkongsi perkara tersebut menerusi akaun Instagram miliknya dan ia dilihat seperti menjawab persoalan seorang individu yang mendakwa Elyana lupa diri selepas disahkan bebas kanser pada Disember tahun lalu.
Beliau disahkan menghidap kanser limfoma sejak 2017 ketika tersingkir di pentas Gegar Vaganza musim keempat pada tahun 2017. – Agensi
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2022/08/P19-b_06082022.jpg)