Mahu mendekatkan diri dengan peminat, penyanyi Elyana membuka gerai menjual pakaian dan makanan di tiga lokasi di sekitar Lembah Klang sepanjang Ramadan.
Mengakui seronok dapat berjumpa peminat dan pelanggan, Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal, 34, berkata dia tidak berdepan sebarang cabaran ketika berniaga.
“Sepanjang Ramadan ini memang saya berniaga dan antara lokasi saya berniaga adalah di Publika, Bangi dan Puchong. Bukannya nak berniaga sangat tapi sebenarnya nak lebih dekat dengan peminat.
“Sebab itu kita berniaga di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Senang untuk peminat nak membeli dan bertemu dengan saya. Cabaran berniaga bulan Ramadan ini, saya rasa biasa saja.
“Cumanya kita tak dapat makan dan minum, jadi penat sikit. Waktu pelanggan datang membeli pun lain sebab mereka pun tengah berpuasa… jadinya selepas berbuka barulah ramai orang,” katanya kepada. Sebelum ini, penyanyi yang popular menerusi lagu Tak Tercapai Akalmu itu turut berkongsi aktiviti dia berniaga di laman Instagram miliknya.

Rata-rata peminat meluahkan rasa keterujaan dapat bertemu Elyana selain memberi sokongan dengan membeli barangan jualan penyanyi itu.
Dalam pada itu, Elyana yang juga seorang pelakon turut memberitahu keadaan kesihatannya semakin baik dan bakal meneruskan semula rawatan kemoterapi selepas sambutan raya.
“Buat masa sekarang, keadaan saya okey, Alhamdulillah. Cuma kalau penat sangat, kita akan rasa kesihatan turun sedikit tetapi buat masa ini masih baik.
“Saya masih boleh kawal keadaan kesihatan saya. Insya-Allah selepas raya saya akan sambung semula rawatan kemoterapi,” ujarnya.
Pada awal Disember tahun lalu, Elyana berkongsi berita gembira mengenai dirinya yang sudah bebas dan pulih daripada kanser limfoma yang dihidapi sejak 11 tahun lalu. – Agensi