Oleh Lenna N.B.
PADA era perkembangan moden ini, wanita bukan lagi hanya bekerja di lingkungan rumah seperti puluhan tahun lalu, tetapi mempunyai peranan yang sangat besar dalam perkembangan negara, sama ada dalam bidang ekonomi, perubatan, sukan dan sebagainya.
Dalam melihat peranan wanita yang telah memberikan sumbangan kepada negara, sempena Hari Kebangsaan kali ke-33 tahun ini, Media Permata telah berkesempatan mengadakan temu ramah khas bersama dua wanita belia yang telah pun menempah nama di dalam dan di luar negara iaitu Dayang Norhensan binti Haji Mataha, 32 dan Dayang Nurliyana Fatin binti Ariffin, 30, yang berjaya dalam bidang masing-masing.
Membawa pingat mengharumkan negara
Dayang Norhensan dilahirkan dalam keadaan kurang upaya apabila mempunyai cacat penglihatan tahap kedua (iaitu hampir ke tahap tiga atau hampir buta sepenuhnya). Zaman kanak-kanak dan remaja penuh dengan dugaan apabila sering menjadi mangsa ejekan rakan-rakan.
“Saya masih ingat semasa di Menengah 4 sewaktu Hari Sukan Sekolah, seorang guru telah bercakap melalui mikrofon di hadapan pelajar-pelajar lain mencari saya dengan menggunakan perkataan ‘anak cacat’. Saya juga ingat sewaktu sesi Pendidikan Jasmani di sekolah, saya tidak pernah dapat menangkap bola badminton dengan betul kerana tidak nampak, sehinggakan rakan-rakan mengetawakan saya. Sejak hari itu, saya menjadi trauma, benci dengan sukan dan tidak pernah terfikir pun akan terlibat dalam sukan.”


Menurutnya, semasa di zaman persekolahan, beliau pernah ditawarkan oleh seorang guru dari Unit Pendidikan Khas untuk ikut serta Sukan Para, namun mengambil keputusan menolaknya kerana masih terbelenggu dengan rasa trauma. Apabila tamat zaman persekolahan, Unit Pendidikan Khas sekali lagi menghubungi Dayang Norhensan atas tujuan yang sama. Oleh kerana pada masa itu mempunyai waktu terluang, Dayang Norhensan akhirnya bersetuju.
Pada pertengahan tahun 2007, mulalah Dayang Nurhensan mengikuti latihan Sukan Para kira-kira 5 bulan dan telah terpilih mewakili Brunei untuk menyertai Sukan Para ASEAN ke-4 di Thailand sekitar Januari 2008 dalam sukan melontar cakera. Tanpa disangka, beliau telah berjaya membawa pulang satu pingat gangsa, walaupun baru pertama kali menyertai pertandingan sukan ASEAN tersebut.
“Ramai hairan bagaimana saya yang baru dalam bidang ini dapat mengalahkan atlet-atlet yang lain pada masa itu. Setentunya, saya juga rasa tidak percaya kemampuan saya dalam bidang sukan.”
Menurut Dayang Nurhensan, pada mulanya, beliau memang tidak yakin pada diri sendiri, namun apabila melihat rakan-rakan yang senasib semasa latihan, barulah beliau sedar bahawa bukan hanya dirinya yang kurang upaya, tetapi ramai lagi. Begitu juga semasa menyertai Sukan Para, apabila Dayang Nurhensan menyaksikan sendiri ratusan atlet yang kurang upaya berusaha melakukan yang terbaik demi negara mereka. Barulah beliau sedar bahawa ‘kurang upaya’ bukan alasan untuk putus asa dan mengalah. Dari hari itu, Dayang Nurhensan menjadi lebih semangat dalam menempuh kehidupan.
“Bagaimana kita bangkit dari orang yang kurang upaya menjadi orang yang berjaya adalah bergantung kepada pemikiran kita sendiri. Dulu, saya memilih untuk tidak mahu maju kerana fikiran saya yang tidak sihat, tidak yakin dan negatif. Selaku seorang yang berfikiran sihat, saya sepatutnya bangun dan membuktikan bahawa orang yang kurang upaya seperti saya juga boleh berjaya. Di samping itu, sokongan keluarga dan rakan-rakan juga menjadi pembakar semangat paling utama untuk saya. Tanpa mereka, saya tidak mungkin menjadi seorang atlet pada hari ini.”
Kejayaan Dayang Nurhensan seterusnya adalah dalam tahun 2009 apabila sekali lagi mendapat satu pingat gangsa dalam sukan Sukan Para ASEAN ke-5 di Kuala Lumpur, satu pingat gangsa dalam Sukan Para Asia 2010 di Guangzhou, dua pingat perak dan satu pingat gangsa dalam Sukan Para ASEAN ke-6 di Indonesia iaitu merangkumi acara lontar peluru, cakera dan lembing, satu pingat emas dan satu pingat perak di Kejohanan Atletik Para Terbuka Malaysia 2012, satu pingat perak di Sukan Para ASEAN ke-7 2014 di Myanmar, satu pingat perak di Sukan Para ASEAN ke-8 2015 di Singapura, dan banyak lagi kejayaan-kejayaan yang juga diperolehi dalam negara. Beliau juga terpilih antara peserta bagi Sukan Paralimpik Rio 2016 negara, namun atas sebab-sebab tertentu, Brunei tidak jadi menghantar wakil bagi atlet kurang upaya pada waktu itu.



“Insya Allah, saya ingin terus berjaya lagi dalam bidang sukan, dan bertekad untuk membawa pulang lebih banyak pingat. Pingat-pingat yang telah diperolehi ini bukan sekadar melambangkan kejayaan saya, tetapi satu dorongan dalam membawa lebih banyak kejayaan untuk negara,” ucap Dayang Norhensan.
“Hari Kebangsaan secara umumnya adalah hari menyambut kemerdekaan bebas dari jajahan. Dalam pengertian itu, bagi saya, Hari Kebangsaan adalah di mana saya bebas dari jajahan pemikiran rasa takut, kurang yakin dan bersembunyi hanya kerana kekurangan diri saya. Saya kini seorang yang merdeka, anak bangsa yang bangun menaikkan nama negara melalui sukan di persada antarabangsa dan dunia. Merdeka bukan sekadar negara merdeka, tetapi rakyat juga perlu merdeka. Jangan biarkan ketidakmampuan menjajah kita, tetapi hendaklah kita bertarung melawan jajahan tersebut. Justeru, marilah kita menjadi anak bangsa yang berjaya tidak kira apa bidang kita ceburi. Itulah erti nilai kebangsaan bagi saya.”
Sukarela membangun anak bangsa
Dayang Nurliyana Fatin banyak mengorbankan waktu terluangnya untuk kerja-kerja sukarela. Beliau pernah dianugerahkan Biasiswa Chevening dalam tahun 2013 apabila mendapat rekod pencapaian yang cemerlang serta menunjukkan kualiti kepimpinan. Seterusnya dalam tahun 2015, beliau menerima Anugerah Sukarelawan Belia, dan dalam tahun 2016, menerima Anugerah Belia ASEAN.
Dayang Nurliyana adalah seorang belia yang aktif dalam persatuan-persatuan bukan kerajaan, antaranya adalah Persatuan Usahawan Belia Brunei atau dikenali dengan nama Young Enterpeneurs Association of Brunei (YEAB) sejak tahun 2008, Persatuan Komuniti Capaian dan Latihan atau Society for Community Outreach & Training (SCOT) sejak tahun 2011, Global Shapers BSB Hub sejak tahun 2015, Chevening Alumni Brunei sejak tahun 2014 dan Majlis Perundingan Kampung Rimba II sejak tahun 2015.
“Mengimbas sejak mulanya saya aktif dalam kerja-kerja sukarelawan adalah dari sekolah menengah lagi apabila saya sukarela ikut serta dalam aktiviti-aktiviti sekolah sehinggakan cikgu menegur wajah saya yang mudah dilihat di mana-mana. Saya juga pernah sukarela menjadi tutor mengajar bahasa Inggeris di sebuah universiti Malaysia. Semangat sukarelawan saya memang sudah ketara sejak awal remaja lagi. Dulu, saya seorang yang berfikiran serius dan tidak mudah berpuas hati sesuatu di hadapan saya yang perlu diperbaiki. Daripada duduk diam dan menjadi pengkritik, saya memilih untuk bertindak membawa perubahan dan pembaikan mengikut kemampuan saya,” ucap Dayang Nurliyana.





Mengimbas detik pencapaian kejayaannya adalah apabila dalam tahun 2011, mewakili Brunei, menubuhkan The Commonwealth Asia Alliance of Young Entrepreneurs (CAYE-ASIA) sebagai platform rangkaian untuk menggabungkan usahawan-usahawan belia seluruh rantau Asia di bawah satu payung. Melalui rangkaian ini, usahawan-usahawan belia negara anggota berpeluang untuk membawa produk-produk mereka keluar dari negara. Penubuhan CAYE-ASIA ini, kemudian telah membawa kepada penubuhan CAYE-Caribbean & Canada, CAYE-East Africa, dan CAYE-Southern Africa menunjukkan kejayaan penubuhan asal CAYE. Dalam tahun 2015 seterusnya, Dayang Nurliyana telah dilantik menjadi presiden CAYE-ASIA yang dipertanggungjawabkan mentadbir seluruh rangkaian organisasi.
Dalam tahun 2013 pula, Brunei telah mengelolakan ASEAN Young Professionals Volunteer Corps dan Dayang Nurliyana pada masa itu dihubungi oleh Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan untuk bekerjasama menjayakan program tersebut di tujuh buah negara. Objektif program adalah mendorong belia-belia dari tujuh negara melaksanakan projek sukarelawan dalam pelbagai bidang, yang dihadkan kepada 25 belia dalam setiap negara seluruh ASEAN. Kejayaan projek itu bukan sahaja mendorong belia-belia terlibat dalam kerja-kerja sukarela tetapi membentuk kerjasama, memperkembangkan kemahiran belia serta semangat kepimpinan.
“Banyak lagi pencapaian-pencapaian yang menjadi kenangan terindah saya. Setiap percapaian itu bukan sahaja untuk diri saya, tetapi sebagai sumbangan saya kepada negara tercinta.”
Bagi Dayang Nurliyana, setiap individu mempunyai peranan penting dalam negara. Sumbangan bukan bererti perlu melakukan sesuatu yang besar kepada negara. Menurutnya, walaupun sekadar memberikan sumbangan dalam keluarga juga secara tidak langsung sebenarnya menyumbang kepada negara kerana keluarga yang sihat dapat melahirkan generasi yang sihat, dan sesungguhnya negara memerlukan generasi tersebut.
“Sumbangan sebenarnya boleh bermacam cara mengikut kemahiran, semangat minat yang mendalam, waktu yang terluang dan sebagainya. Jangan ingat sebagai belia, kita tidak ada hak untuk bersuara, walhal sebenarnya peluang dan ruang sentiasa ada. Cuma, pilihan terletak pada tangan kita. Tidak perlu mengharapkan pujian atau pandangan yang boleh mengurangkan semangat kita, tetapi bertindaklah selagi kita mampu. Satu pintu tertutup, pasti banyak lagi pintu lain yang akan terbuka. Saya sendiri tidak pernah berharapkan mendapat anugerah. Saya hanya bertindak mengikut kemampuan dan kehendak saya demi membantu belia-belia kita, namun tanpa disangka, rupanya ada yang sedang mengikuti perkembangan saya. Alhamdullillah, itu adalah rezeki dan batu loncatan untuk saya buat lebih baik lagi.”
Dalam menjayakan Wawasan Negara 2035, Dayang Nurliyana juga menyentuh bagaimana setiap individu mempunyai peranan sama ada mendapatkan keputusan yang cemerlang di sekolah, menjana kemahiran diri mengikut bidang-bidang yang diceburi, bekerja dengan penuh amanah sama ada dalam sektor swasta atau kerajaan, dan sebagainya.
“Bagi mencapai Wawasan Negara, bukan hanya kerajaan memandu tetapi kita, rakyat Brunei perlu sama-sama melihat peranan masing-masing dalam mencapai wawasan tersebut. Dalam meraikan Hari Kebangsaan 33 tahun ini, saya tahu, kini kita mengalami waktu yang sangat mencabar, tetapi daripada cabaran itulah, kita harus bangun dan mencari cara membawa perubahan demi memperkembangkan negara kitani, maka dengan itu jadilah sebahagian daripada perubahan itu. Hari Kebangsaan bukan sekadar mengibarkan bendera, tapi semangat cinta dan jiwa kita kepada bangsa dan negara setiap hari. Daripada rasa cinta itu, kita harus matang dalam menerokai kemampuan diri. Itulah pengertian Kebangsaan bagi saya,” ujar Dayang Nurliyana di hujung temu ramah.