PARIS, 17 SEPT – Beberapa sampel emas bernilai 600,000 euro (AS$700,000) telah dicuri dari Muzium Sejarah Semula Jadi Paris dalam insiden pecah masuk yang menyasarkan institusi budaya, menurut pihak muzium.
Muzium terkenal yang terletak di daerah ke-5 Paris yang mewah itu terkenal dengan rangka dinosaur dan koleksi haiwan awet selain menempatkan galeri geologi dan mineralogi.
Insiden pecah masuk tersebut dikesan pada pagi kelmarin dengan laporan awal menyatakan penceroboh menggunakan alat pemotong logam dan penunu bagas untuk masuk ke kompleks muzium yang terletak berhampiran sungai, sebuah lokasi yang popular dalam kalangan penduduk tempatan dan pelancong.
“Kecurian melibatkan beberapa spesimen emas asli daripada koleksi kebangsaan yang disimpan oleh muzium,” kata pejabat media muzium itu kepada AFP lewat semalam.
“Walaupun nilai pasaran spesimen yang dicuri dianggarkan sekitar €600,000 berdasarkan harga emas mentah, nilai warisan yang terkandung dalamnya adalah tidak ternilai,” tambah kenyataan itu.

Emas asli merupakan campuran semula jadi emas dan perak dalam bentuk tidak ditapis.
Sumber polis yang tidak dinamakan memberitahu akhbar Parisien, sistem penggera dan pengawasan muzium telah dilumpuhkan oleh serangan siber pada Julai dan pencuri dipercayai menyedari kelemahan tersebut.
“Kejadian itu berlaku pada waktu yang amat mencabar bagi institusi budaya, khususnya muzium. Beberapa koleksi awam telah menjadi sasaran kecurian dalam beberapa bulan kebelakangan ini,” tambah pihak muzium.
Ia tidak memperincikan insiden lain, namun Muzium Nasional Adrien Dubouche di Limoges, tengah Perancis, dipercayai telah dipecah masuk awal bulan ini, dengan pencuri melarikan dua pinggan dan sebuah pasu porselin China yang diklasifikasikan sebagai khazanah negara, dengan jumlah kerugian dianggarkan mencecah €6.5 juta.
Pada November lalu, empat lelaki bersenjatakan kapak dan kayu besbol telah memecahkan kotak pameran secara terang-terangan di Muzium Cognacq-Jay, Paris dan melarikan beberapa karya abad ke-18.
Keesokan harinya, perhiasan bernilai jutaan euro pula dicuri dalam satu rompakan bersenjata di sebuah muzium di Saone-et-Loire, tengah Perancis. – AFP

