LONDON, 1 Jan – Pengurus Arsenal, Unai Emery didenda AS$10,000 semalam kerana menendang botol air ke arah penonton ketika pasukannya seri di Brighton pada 26 Disember lalu selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris.
“Unai Emery didenda AS$10,000 selepas dia mengaku bersalah terhadap dakwaan salah laku FA dan menerima hukuman standard,” umum badan induk bola sepak Inggeris itu dalam satu kenyataan.
FA mengumumkan Khamis lalu pengendali dari Sepanyol itu dituduh atas insiden itu, yang berlaku selepas tamat aksi Liga Perdana Inggeris apabila Gunners seri 1-1 di pantai selatan meskipun Emery sendiri berharap permohonan maafnya kepada penyokong tuan rumah cukup untuk terlepas daripada hukuman itu.
“Saya harap, ya,” kata bekas bos Paris Saint-Germain itu apabila ditanya sama ada permohonan maaf boleh menamatkan perkara itu.
“Tapi saya perlu menghormati keputusan kerana ia akibat daripada tindakan saya cuma hakikatnya saya tidak berniat untuk melakukannya terhadap penyokong. Saya meminta maaf kepada mereka.”
Emery bagaimanapun terlepas hukuman penggantungan tepi padang dan bebas mengendalikan pasukan apabila Fulham berkunjung ke Emirates hari ini.
Minggu lalu, Arsenal tewas kepada Liverpool yang berakhir dengan keputusan 5-1 selepas mendahului 1-0 namun pendahuluan itu tidak lama tatkala Liverpool bangkit menjaringkan empat gol pada separuh masa pertama dan satu gol pada babak kedua. – AFP
