LONDON, 25 OKT – Bekas pengendali Arsenal, Unai Emery akan kembali ke Liga Perdana Inggeris bulan depan sebagai ketua jurulatih baharu Aston Villa, umum kelab Inggeris itu baru-baru ini.
Emery, yang melepaskan jawatannya di kelab Sepanyol, Villarreal, mengambil alih tugasan sebagai pengurus Villa selepas Steven Gerrard yang dipecat minggu lalu ketika pasukannya tewas 3-0 di tangan Fulham.
“Dengan sukacita Aston Villa mengumumkan pelantikan Unai Emery sebagai ketua jurulatih baharu kelab,” umum kelab berkenaan.
Villa menggambarkan Emery sebagai ‘jurulatih kelas tinggi berpengalaman yang sudah mengendali lebih 900 perlawanan’.
Pengendali berusia 50 tahun itu membimbing Villarreal memenangi Liga Europa pada tahun 2021, menewaskan Manchester United di final, sebelum membawa mereka ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah musim lalu di mana mereka tewas kepada Liverpool.
Sebelum itu, dia membawa Sevilla menjuarai tiga gelaran Liga Europa antara tahun 2013 dan 2016, dan kemudian menjulang trofi Ligue 1 di Perancis bersama Paris Saint-Germain.
Sepanjang mengendalikan Arsenal, dia membawa The Gunners ke final Liga Europa 2019 di mana mereka tewas 4-1 kepada Chelsea.
Menurut Villa, Emery yang kontraknya bersama Villarreal akan tamat hujung musim ini, akan mula bertugas pada 1 November selepas selesai urusan permit kerja.
Emery sebelum ini mengendali Arsenal selama 18 bulan dan dipecat susulan tujuh kekalahan berturut-turut. – AFP
