Sunday, April 13, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Emery kekal yakin walaupun kalah di Paris

    PARIS, 10 APRIL– Jurulatih Aston Villa, Unai Emery tegaskan dia masih percaya pasukannya boleh mengatasi Paris Saint-Germain dan mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara walaupun tewas 3-1 kelmarin.

    Villa mendahului pada separuh masa pertama di Paris menerusi Morgan Rogers sebelum tuan rumah mengubah permainan dengan hasil jaringan menakjubkan Desire Doue dan Khvicha Kvaratskhelia

    Dan ditambah usaha Nuno Mendes pada masa kecederaan yang memberikan PSG kelebihan dua gol untuk dibawa ke Villa Park sekali gus memberi Emery tugas besar untuk memulihkan kedudukan.

    “Pada kedudukan 2-1 kami berfikir untuk menang dalam perlawanan seterusnya dan pada kedudukan 3-1, kemahuan untuk menang masih sama,” kata Emery.

    “Villa Park adalah rumah kami, dan semoga di sana kami akan lebih kuat. Tetapi sudah pasti mereka masih pasukan pilihan dengan kuasa dan kualiti individu mereka.”

    “Saya tidak gembira tetapi saya berpuas hati dengan prestasi kami. Adalah istimewa untuk kami berada di Paris dan bermain di suku akhir Liga Juara-Juara,” tambah Emery.

    Sementara itu, pemain lawan Emery, Luis Enrique, gembira dengan persembahan pasukannya sambil menegaskan PSG tidak akan duduk dan ‘berspekulasi’ Selasa depan.

    “Perlawanan mempunyai sedikit segala-galanya tetapi kami mengawalnya,” kata bekas jurulatih Barcelona itu.

    Kualiti jaringan PSG adalah luar biasa, dengan jaringan hebat Doue untuk gol penyamaan dengan bantuan usaha individu Kvaratskhelia yang luar biasa.

    Mendes menambah jaringan menewaskan Emiliano Martinez menjadikan kedudukan 3-1 berikutan hantaran hebat Ousmane Dembele, menamatkan kemenangan PSG dengan catatan penguasaan bola 68 peratus serta 30 kali percubaan ke arah gawang berbanding lapan catatan Villa.

    “Saya rasa gol pada saat akhir mencerminkan, atau memberi ganjaran, apa yang kami lakukan sepanjang 90 minit,” kata Luis Enrique, yang memenangi Liga Juara-Juara bersama Barcelona pada 2015. – AFP

    Aksi Nuno Mendes menjaringkan gol ketiga Paris Saint-Germain semasa menentang Aston Villa di stadium Parc des Princes, Paris kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda