Tuesday, May 13, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Emery pamer kekecewaan

    BAKU, 30 Mei – Kekecewaan dirasai jurulatih Arsenal, Unai Emery apabila pasukannya mengalami kekalahan memilukan 1-4 di tangan Chelsea pada final Liga Europa di Baku sekali gus terlepas peluang ke Liga Juara-Juara sekali lagi musim depan bagi musim ketiga berturut-turut.

    “Kami sedar ia sukar untuk mencapai sasaran pertama kami,” kata Emery, merujuk kepada Liga Juara-Juara.

    “Dalam Liga Perdana kami hampir melakukannya tapi kami tewas satu atau dua mata kepada pasukan seperti Tottenham dan Chelsea.

    “Liga Europa satu lagi cara. Kami cuba dan bekerja keras, tapi tahniah kepada Chelsea. Mereka kini lebih bagus berbanding kami.”

    Emery berharap untuk memenangi Liga Europa buat kali keempat selepas kejayaan tiga tahun berturut-turut bersama Sevilla dari 2014 hingga 2016.

    Emery mempamerkan kekecewaannya selepas tewas dalam perlawanan menentang Chelsea FC di Stadium Olimpik Baku di Baku, awal pagi kelmarin. – AFP

    “Pada babak pertama kami ada kemungkinan, beberapa peluang untuk menjaringkan gol dan tidak banyak memberi peluang kepada mereka.

    “Pada babak kedua idea kami sama, untuk meneruskan perancangan awal, tapi mereka menjaringkan gol pertama dan ia amat penting dalam perlawanan ini.

    “Mereka mempunyai pemain yang amat bagus dan kami menurunkan beberapa pemain muda. Kami sedar ia pasti sukar.”

    Kemenangan 4-1 buat Chelsea di Baku itu turut membawa khabar gembira buat kelab Perancis Lyon, yang kini terus layak ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara musim depan.

    Manakala Arsenal yang menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di tangga kelima, memerlukan kemenangan pada perlawanan itu untuk kembali ke pentas tertinggi Eropah berkenaan selepas dua tahun menghilang. Chelsea kendalian Maurizio Sarri sudah mengesahkan kelayakan menerusi kedudukan ketiga di Liga Perdana, jadi slot yang ditawarkan untuk juara Liga Europa itu membolehkan Lyon melepasi peringkat kelayakan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda