Penyanyi rap Eminem berkongsi khabar gembira dia bakal bergelar seorang datuk selepas anak perempuannya disahkan hamil anak pertama, lapor mStar.
Kisah kehamilan anaknya iaitu Hailie Jade turut diabadikan dalam sebuah muzik video (MV) lagu terbaharunya berjudul Temporary.
Dalam MV tersebut, Hailie dilihat memberi kejutan buat Eminem dengan menghadiahkan sehelai baju jersi yang tertera perkataan Grandpa (datuk).
Malah pemilik nama penuh Marshall Bruce Mathers ini, 52, dilihat terkejut apabila memegang kad imbasan ultra bunyi yang menunjukkan Hailie sedang hamil.
Eminem juga kelihatan sedih dan mengalirkan air mata tatkala mendapat khabar gembira itu.
Temporary merupakan salah sebuah lagu yang dimuatkan dalam album terbaharunya berjudul The Death of Slim Shady (Coup De Grace).
Menarik tentang MV lagu berkenaan, Eminem berkongsi video-video peribadi perkembangan hidup Hailie, 29, sejak anaknya itu masih kecil sehinggalah mendirikan rumah tangga pada Mei lalu. – Agensi