Saturday, July 27, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Emir kritik penyokong Israel

    DOHA, 24 OKT – Pemerintah Qatar mengkritik penyokong Israel, mendakwa mereka telah memberikannya ‘izin untuk membunuh’ dalam perangnya dengan Hamas dan mempersoalkan apa yang akan dicapai oleh konflik itu.

    Negara-negara besar, termasuk Amerika Syarikat (AS), Britain dan Perancis, telah berhimpun menyokong Israel dan menegaskan haknya untuk mempertahankan diri selepas serangan maut oleh kumpulan Islam Palestin bulan ini.

    Pejuang Hamas menyerbu Israel dari Semenanjung Gaza pada 7 Oktober, membunuh sekurang-kurangnya 1,400 orang, kebanyakannya orang awam dan menjadikan 222 tebusan, menurut pegawai Israel.

    Lebih 5,000 rakyat Palestin, kebanyakannya orang awam, telah terbunuh di seluruh Semenanjung Gaza dalam pengeboman tanpa henti Israel sebagai tindakan balas terhadap serangan itu, menurut kementerian kesihatan yang dikendalikan Hamas di wilayah itu.

    “Kami mengatakan cukup adalah cukup,” Emir Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani memberitahu mesyuarat Majlis Syura, badan perundangan Qatar, menurut terjemahan yang dikeluarkan oleh mahkamah diraja.

    “Memberikan keizinan tanpa syarat dan kebebasan kepada Israel untuk membunuh tidak lagi dapat diterima dan tidak boleh dipertahankan untuk terus mengabaikan realiti pendudukan, pengepungan dan penempatan.”

    Qatar, sekutu AS yang menempatkan pangkalan tentera AS yang besar, juga menjadi tuan rumah pejabat Hamas yang berfungsi sebagai kediaman utama pemimpinnya yang dibuang negeri, Ismail Haniyeh.

    Sebuah monarki kaya di wilayah Teluk merupakan saluran komunikasi dengan pejuang Hamas dan memainkan peranan penting dalam rundingan untuk membebaskan tebusan, dengan empat dibebaskan setakat ini.

    “Taktik pengepungan dengan menghentikan bekalan elektrik, air, makanan dan ubat-ubatan ke atas Gaza sepatutnya tidak digunakan sebagai senjata Israel terhadap penduduk Gaza”, kata Emir, merujuk kepada pengepungan Israel ke atas Gaza. – AFP

    Serangan berterusan Israel ke atas Gaza cetus kemarahan Sheikh Tamim. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...