PELAKON, Emma Maembong berkata dia menabung untuk menghadiahkan ayahnya sebuah kereta mewah idamannya. Menurut Emma, dia sudah tahu keinginan ayahnya itu sejak setahun yang lalu.
“Tahun lalu ayah ada naik kereta Mercedes milik kawan saya dan dia sangat suka dengan kereta itu. Tapi memikirkan harga agak mahal, ayah diam sahaja.
“Sejak itu, saya nekad bekerja keras untuk kumpul duit. Sepatutnya hari lahir ayah bulan April lalu tapi ketika itu wang simpanan saya tak cukup lagi.
“Alhamdulillah selepas setahun menyimpan, saya dapat hadiahkan kereta itu kepada ayah,” kata pemenang Ratu Telenovela dua tahun berturut-turut ini.

Mengulas mengenai kemenangannya baru-baru ini di Anugerah Telenovela 2018, Emma, 26, akui dia masih lagi dalam keadaan yang terkejut kerana tidak menyangka takhta Ratu Telenovela sekali lagi menjadi miliknya.
“Saya hadir malam itu hanya untuk memberi sokongan. Tidak menjangka sebarang kemenangan pun.
“Lagipun saya fikir, takkanlah juri nak pilih saya lagi tahun ini sebab tahun lalu dah menang. Tambahan pula, ada ramai lagi pelakon-pelakon yang hebat.
“Apa-apa pun saya nak ucapkan terima kasih kepada semua juri kerana memilih saya,” ujarnya. – Agensi